Kuala Lumpur: Armada LJ International Sdn Bhd, pengeluar pakaian dan aksesori streetwear jenama Lanun Johor yakin hasrat memperluas rantaian perniagaannya ke beberapa negara jiran yang sudah dikenal pasti mampu dicapai dalam tempoh lima tahun lagi.

Pengurusnya, Faizal Ridza Alwi berkata, selepas memutuskan untuk fokus kepada perniagaan dalam talian tanpa premis fizikal sejak Februari tahun lalu, prestasi perniagaannya kekal baik, malah lebih menjimatkan dari segi kos operasi.

Jelas beliau, pada masa sama, eksport ke Singapura juga masih diteruskan sehingga kini membabitkan sekurang-kurangnya 500 unit produknya dihantar kepada wakil jualan di republik itu setiap dua minggu.

“Tentunya eksport ke luar negara antara strategi yang membuka peluang lebih luas untuk kami kukuhkan perniagaan terutama jenama Lanun Johor itu sendiri.

“Kami ada menerima permohonan pihak tertentu dari beberapa negara antaranya Rusia yang berminat menjadi francaisi Lanun Johor cuma perbincangan masih berjalan sehingga sekarang.

“Kami lebih selesa sekiranya perkara ini dilakukan di negara jiran terlebih dulu kerana jaraknya lebih dekat, memudahkan kami melakukan kerja pengurusan dan pemantauan terhadap setiap francaisi dengan lebih cekap,” katanya.

Menurutnya, keputusan untuk tidak menyambung kontrak sewaan dengan pemilik premis perniagaannya pada awal tahun lalu dianggap langkah tepat apabila wabak Covid-19 secara tiba-tiba melanda negara awal tahun ini.

Disusuli pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, Faizal berkata, Lanun Johor boleh menarik nafas lega kerana sudah beralih kepada platform dalam talian sejak hampir setahun sebelum itu.

“Apabila PKP dilaksanakan yang memerlukan kebanyakan peniaga seperti kami beralih kepada platform dalam talian, Alhamdulillah, Lanun Johor tidak kekok kerana sudah setahun melakukannya.

“Jualan juga masih konsisten, malah eksport ke Singapura kadangkala mencecah 1,000 produk Lanun Johor pelbagai jenis seperti topi, kemeja-T dan jam.

“Bagi menggalakkan pembelian, kami banyak memberi tumpuan kepada promosi seperti barangan percuma misalnya beli kemeja-T percuma pelitup muka Lanun Johor, semua ini juga antara inisiatif kami untuk menghargai pelanggan yang setia menyokong Lanun Johor,” katanya.

Dalam pada itu, Faizal berkata, pihaknya lega dengan Geran Khas Prihatin (GKP) berjumlah RM3,000 diperkenalkan kerajaan yang membolehkannya menampung perbelanjaan untuk syarikat ketika PKP berkuat kuasa.

“Memandangkan kami sudah menutup kedai fizikal pada tahun lalu, kami memang tidak lagi mempunyai kakitangan dan menumpukan kepada perniagaan dalam talian serta eksport ke Singapura.

“Disebabkan itu, kami tidak terbabit dengan subsidi upah tetapi ada mohon bantuan GPK dan Alhamdulillah ia diluluskan dengan prosesnya cukup mudah.

“GPK memang amat membantu meringankan beban kewangan syarikat terutama untuk membolehkan kami membayar bil utiliti termasuk langganan internet serta perbelanjaan sampingan lain selepas aktiviti perniagaan menjadi agak terhad susulan PKP,” katanya.