PERSATUAN Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) tidak menyokong langkah mewajibkan penjarakan sosial dalam pesawat kerana tempat duduk tengah akan dikosongkan.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Alexandre de Juniac berkata, walaupun diwajibkan, pengosongan tempat duduk tengah tidak mencapai pengasingan seperti disyorkan.

Ini memandangkan kebanyakan pihak berkuasa menyarankan satu hingga dua meter bagi penjarakan sosial, sedangkan lebar tempat duduk rata-rata kurang daripada 50 sentimeter.

“Saranan penjarakan sosial dalam pesawat akan mengubah ekonomi penerbangan secara dasarnya dengan mengurangkan faktor muatan maksimum kepada 62 peratus. Angka itu jauh di bawah angka purata faktor muatan pulangan industri pada 77 peratus.

“Berdasarkan tempat duduk untuk dijual berkurangan, kos unit akan meningkat ketara. Jika dibandingkan dengan tahun lalu, tambang udara perlu naik secara mendadak antara 43 peratus dan 54 peratus bergantung pada wilayah, hanya untuk menampung kos,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Syarikat penerbangan sedang bergelut demi kelangsungan mereka dan langkah mengosongkan tempat duduk tengah akan menaikkan kos.

Sekiranya itu dapat diimbangi dengan tambang yang lebih tinggi, era perjalanan tambang rendah pula akan berakhir.

“Jika syarikat penerbangan tidak dapat menutup kerugiannya dengan tambang yang tinggi, maka ia akan berdepan risiko bankrap.

“Tiada pilihan yang baik ketika dunia memerlukan kesalinghubungan yang kukuh untuk membantu memulakan pemulihan daripada kemelesetan ekonomi akibat Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun, de Juniac berkata, pihaknya menyokong pemakaian pelitup muka bagi penumpang dan anak kapal ketika berada dalam pesawat.

“Langkah ini adalah bahagian penting dalam pendekatan berlapis untuk keselamatan bio dilaksanakan sementara apabila ramai kembali melakukan perjalanan udara,” katanya.

Menurutnya, industri penerbangan bekerjasama dengan kerajaan untuk memulakan kembali penerbangan di samping melaksanakan langkah perlu seperti pemakaian pelitup muka bagi penumpang dan anak kapal dengan tambahan lapisan perlindungan.

“Kita perlu mencapai penyelesaian yang dapat memberi keyakinan kepada penumpang untuk menggunakan perjalanan udara dan menjadikan kos penerbangan berpatutan. Jika satu daripadanya tiada, maka penyelesaian itu tidak akan mempunyai manfaat berkekalan,” katanya.