JASMINE Food Corporation (Jasmine) Sdn Bhd menunjukkan prestasi mampan apabila berjaya meraih anugerah dari Reader’s Digest untuk 16 tahun berturut-turut.

Untuk tahun ini, Jasmine dianugerahkan dengan Anugerah Platinum Jenama Paling Dipercayai dalam kategori beras di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Jasmine Food Corporation, Lim Swee Keat berkata, pihaknya mengukuhkan kehadiran lebih dari lima dekad sebagai satu daripada pengeluar dan pengedar pasaran beras terkemuka di Malaysia.

“Kami bangga dengan penghargaan yang diterima selama bertahun-tahun ini. Anugerah ini, adalah galakan untuk mengembangkan lagi jenama Jasmine yang dipercayai dan terus memberikan kualiti yang baik bagi varian beras sihat kami,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, bagi menggalakkan budaya pemakanan sihat, Jasmine menyediakan beras yang dihasilkan melalui penanaman yang betul yang boleh menghasilkan produk lebih sihat.

“Antara rangkaian produk kami dalam senarai adalah beras wangi, beras putih import dan tempatan, beras basmati khas, beras perang, beras pulut dan bihun,” katanya.

Katanya, inovasi ialah satu elemen penting yang juga dikaitkan dengan kejayaan Jasmine yang dibuktikan oleh penghasilan produk inovatif seperti beras basmati bijian panjang.

Jenis nasi yang rendah lemak dan rendah karbohidrat ini mengandungi tahap indeks glisemik yang rendah, protein, kalsium dan vitamin.

Oleh itu, Jasmine memenangi kepercayaan dan sokongan yang dicapai dengan kerjasama dan Institut Kesihatan Negara, Hospital Tung Shin, Pusat Darah Negara (PDN), Persatuan Diabetes Kebangsaan dan Institut Jantung Negara (IJN).