JABATAN Hal Ehwal Veteran (JHEV), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperkenalkan platform perniagaan dalam talian khas bagi veteran ATM mengembangkan bidang perniagaan yang diceburi mereka.

Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, melalui platform jual beli mudah alih yang dinamakan JHEV Mall itu, ia memberi kemudahan kepada usahawan dalam kalangan veteran ATM menawarkan produk dan perkhidmatan mereka dengan lebih cepat dan mudah.

“Aplikasi ini diwujudkan untuk menggalakkan penyertaan veteran tentera yang berdaftar di bawah JHEV memperluaskan lagi capaian perniagaan mereka dan ia memberi banyak kebaikan,” katanya kepada Bernama.

Katanya, fasa pertama pengenalan platform itu berjaya menarik penyertaan hampir 200 veteran ATM yang mempunyai produk sendiri dan pelancaran rasmi aplikasi berkenaan akan diadakan kelak.

Beliau berkata, menerusi aplikasi itu, peserta boleh memuat naik gambar produk dan perkhidmatan yang ditawarkan untuk memudahkan orang awam membuat pembelian.

“Penyediaan platform ini disasar mampu mengikut langkah syarikat swasta e-dagang lain seperti Lazada, Shopee sebagai pusat beli-belah dalam talian yang membekalkan pelbagai produk termasuk peralatan rumah dan barangan elektronik,” katanya.

Dzulkarnain berkata, untuk fasa seterusnya pihaknya akan memperincikan pengenalan fungsi e-dompet dalam aplikasi berkenaan bagi kemudahan transaksi jual beli pada masa akan datang.

“Aplikasi ini dimulakan kira-kira tiga bulan lalu, namun ia dalam fasa awal berikutan fungsi e-dompet masih belum tersedia,” katanya menambah JHEV menyasarkan kira-kira 1,000 veteran tentera yang mempunyai perniagaan menyertai platform berkenaan.

Selain manfaat kepada bekas pejuang, Dzulkarnain berkata, pengenalan platform itu mampu memperkukuhkan lagi kewangan JHEV termasuk menambah dana Tabung Yayasan Veteran ATM.

“Tabung Yayasan Veteran ATM perlu kukuh kerana kita tidak mahu bergantung kepada kerajaan sahaja,” katanya sambil berharap yayasan berkenaan turut mampu memberikan bantuan biasiswa kepada ahli suatu hari nanti, sebagaimana dipraktikkan yayasan pertubuhan lain.

“Sehingga kini kami hanya mampu memberikan bantuan secara sekali bayar one-off namun jika JHEV kukuh, bantuan seperti itu boleh diberi secara berterusan,” katanya.