Keputusan kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) peringkat dasar kelmarin akan membantu menjana ekonomi bagi tahun 2021 melalui pertambahan perbelanjaan penggunaan dan dianggap sebagai perpaduan ekonomi.

Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, belanjawan itu perlu diluluskan bagi memastikan kelangsungan program pada pakej rangsangan ekonomi 2020 dan memastikan penambahbaikan boleh dilaksanakan.

“Belanjawan 2021 diluluskan di Parlimen dengan penuh dramatik. Alhamdulillah ia diluluskan di peringkat dasar.

“Jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan, ia akan memberi implikasi besar kepada ekonomi negara.

“Terdahulu kerajaan mengumumkan empat pakej rangsangan ekonomi iaitu Prihatin, Prihatin PKS+, Penjana dan Kita Prihatin yang semua berjumlah RM305 bilion.

“Jika tahun ini sudah dilaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi, mengapa Belanjawan 2021 menjadi sangat penting kepada negara yang memerlukan kepada panggilan ‘perpaduan ekonomi’ dalam kalangan semua ahli Parlimen.

“Kita perlu faham bahawa wujud jurang masa dalam melaksanakan semua program di bawah pakej rangsangan terbabit.

“Malah, kadar pelaksanaan program yang dirangka masih di bawah paras 70 peratus dan program yang dirangka perlu diteruskan pada 2021 dan penambahbaikkan mungkin diperlukan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, perlu difahami bahawa pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi hanya dapat dilihat selepas beberapa bulan.

Beliau berkata, hal ini kerana impak peruntukan kewangan diterima oleh peniaga dan isi rumah pada hari ini hanya dapat dinilai keberkesanannya selepas beberapa tempoh masa.

“Ini dinamakan lagging effects. Justeru, Belanjawan 2021 perlu diluluskan bagi memastikan kelangsungan program pada pakej rangsangan ekonomi 2020 dan memastikan penambahbaikkan boleh dilaksanakan.

“Hal ini memastikan pemulihan ekonomi rakyat, peniaga dan negara berada pada landasan yang betul.

“Negara, peniaga dan rakyat akan menghadapi risiko jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan atau dimanipulasi,” katanya.

Mohd Yusof berkata, secara keseluruhannya, penggulungan belanjawan tadi tidak membabitkan perubahan besar yang berlaku ke atas isi kandungan Belanjawan 2021.

“Hanya terdapat perubahan ke atas kemudahan pengeluaran caruman Akaun 1 KWSP.

“Peruntukkan ke atas penjanaan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan jangka panjang masih kekal.

“Namun begitu, langkah pengeluaran KWSP ini juga akan menjadikan kos ekonomi meningkat untuk jangka panjang kerana negara akan kekurangan dana bagi pelaburan yang akan mendatangkan manfaat jangka panjang.

“Jadi amat penting untuk mengimbangi antara keperluan jangka pendek dan jangka panjang,” katanya.