INVEST Kuala Lumpur Corporation (InvestKL) mengekalkan sasarannya menarik 12 syarikat multinasional berteknologi tinggi dan berimpak tinggi melabur di Kuala Lumpur tahun ini meskipun krisis pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Azmi Zulkifli berkata, agensi itu menyasarkan pelaburan dalam sektor seperti teknologi, pengguna dan produk perindustrian, peralatan perubatan, teknologi perubatan, teknologi pintar dan tenaga boleh diperbaharui.

“Asas Malaysia kekal kukuh dan menarik kepada pelaburan dan kami terus mengadakan perbincangan aktif dengan pelabur berpotensi dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Walaupun ada sesetengah pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat sesetengah lain kekal komited kepada pelaburan mereka kerana mereka melihat kepada prospek jangka panjang.

“Selain itu, China membuka perniagaannya dan ini berita baik kepada kita. Kami berbincang dengan syarikat China dan syarikat multinasional global daripada sektor teknologi, logistik dan pembuatan yang berminat mengembangkan kapasiti mereka dan membuka ibu pejabat serantau mereka di sini,” katanya.

Sehingga kini, InvestKL menarik 91 MNC dengan pelaburan komited dan diluluskan mencecah RM13.95 bilion termasuk mewujudkan 12,584 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serantau dalam tempoh 2011 hingga 2019.

Ia secara tidak langsung membuktikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan terpenting syarikat multinasional global (MNC) dan berjaya mewujudkan peluang pekerjaan sejak 2011.

Pencapaian itu selaras dengan 91 peratus mandat InvestKL 2020 dan agensi itu optimistik dalam berhati-hati untuk mencapai sasaran 100 MNC menjelang akhir tahun.

Dalam kenyataan sama, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pencapaian diraih itu bukti keyakinan pelabur asing terhadap persekitaran perniagaan dan tadbir urus negara.

“Bagaimanapun, InvestKL perlu mengukur semula dan menambahkan nilai yang lebih besar ke atas strategi pelaburannya bagi mendepani kebimbangan berhubung pandemik Covid-19 dan impak negatif terhadap pelaburan langsung asing seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dalam tempoh lapan tahun dari 2011 hingga 2019, sejumlah RM8.1 bilion atau 58 peratus daripada pelaburan RM13.95 bilion sudah direalisasikan, di mana 8,858 atau 70 peratus daripada 12,584 pekerja berkemahiran tinggi serantau sudah diambil bekerja dengan purata pendapatan tahunan mencecah RM141,622.

Pada 2019, InvestKL menarik 12 syarikat multinasional berteknologi tinggi dan bernilai tinggi yang menyumbang kepada sektor perkhidmatan di Malaysia dengan pelaburan diluluskan bernilai RM2.2 bilion yang mewujudkan 1,308 pekerjaan serantau.

Daripada 12 MNC yang dinyatakan, 70 peratus adalah dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Eropah.

Ia merangkumi syarikat Fortune 500 dan Forbes 2000 seperti Edwards Lifesciences Corporation (AS); Splunk (U.S.); General Electric (AS); Astra Zeneca (UK); ABB (Swiss-Swedish); Schindler (Swiss); CMA CGM (Perancis); TUI (Jerman); dan SCM (Itali).

Baki 30 peratus lagi membabitkan syarikat Asia seperti Daifuku (Jepun); Vanke (China); CRRC Corporation (China); dan SRKay Consulting (India).