ALLIANZ General Insurance Company (Malaysia) Berhad melancarkan Smart Retail Shield, insurans fleksibel dan boleh disesuaikan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan perlindungan percuma sehingga RM250,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata, pandemik Covid-19 menjadi cabaran kepada perniagaan dalam semua industri untuk fokus kepada kelangsungan dan kelestarian perniagaan.

“Sebagai penanggung insurans, kami mengurus risiko setiap hari dan terdapat banyak produk yang boleh dipilih.

“Tetapi orang ramai terutama pengusaha perlu memastikan mereka sentiasa memiliki perlindungan yang tepat dan kami mampu membantu untuk menjaga perniagaan mereka dengan selamat.

“Dengan Smart Retail Shield, kami ingin memberi PKS keyakinan dan pilihan untuk membina semula perniagaan mereka, dengan mengetahui bahawa kami akan menjadi rakan kongsi mereka dalam rancangan pemulihan mereka,” katanya pada sidang media maya sempena pelancaran Smart Retail Shield, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Jualannya, Horst Habbig.

Smart Retail Shield adalah penyelesaian insurans fleksibel dan komprehensif yang membolehkan PKS meningkatkan perlindungan insurans kebakaran dengan perlindungan boleh disesuaikan.

Ini termasuk perlindungan daripada kebakaran komersial dan perlindungan seperti Faedah Bantuan Susah Payah, kerugian berikutan, dan keganasan, melindungi aset perniagaan (rompakan atau kerosakan barang dalam transit), menjaga kebajikan kakitangan dan melindungi daripada pendedahan yang lain.

Zakri berkata, 10,000 pelanggan pertama yang membeli Smart Retail Shield (sehingga 31 Disember) juga akan menerima perlindungan percuma daripada tujuh kelas lain-lain selama setahun berjumlah RM250,000 jumlah yang diinsuranskan.

Menurutnya, kelas lain-lain ini termasuk rompakan, cermin, wang dalam premis, wang dalam transit, liabiliti awam, liabiliti majikan dan semua risiko.

“PKS juga akan menerima sokongan pemasaran secara percuma untuk membantu perniagaan-perniagaan ini mendapat pendedahan dan meningkatkan keterlihatan jenama mereka,” katanya.

Beliau berkata, kesan Covid-19 akan dirasakan untuk tempoh yang agak lama dan negara akan menghadapinya untuk masa yang agak lama.

“Keadaan akan menjadi semakin teruk tetapi akan pulih.

“Betapa cepat Malaysia kembali pulih akan bergantung kepada betapa cepat negara boleh mengubah perniagaan yang tidak aktif semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Ditanya mengenai unjuran pasaran insurans pada masa ini, Zakri berkata situasi tidak menentu bukan sahaja berlaku di Malaysia malah seluruh global.

“Kami menjangkakan pasaran insurans tahun ini akan lebih mencabar,” katanya.