LEMBAGA Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi menawarkan insentif khusus kepada pekerja tempatan menyertai sektor perladangan kelapa sawit yang kini dikuasai pekerja asing.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pelan tindakan awal untuk diperhalusi kerajaan itu selaras hasrat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam komoditi berkenaan pada masa hadapan.

Beliau berkata, langkah awal penting sebagai persediaan untuk mengelakkan berlakunya masalah operasi di sektor perladangan jika pengurangan pekerja asing berlaku sama ada disebabkan langkah kerajaan atau peralihan tenaga kerja ke negara lain.

Katanya, insentif yang antara lain mencadangkan peningkatan kadar upah pekerja tempatan itu dijangka menarik minat khususnya golongan muda untuk terbabit dalam sektor perladangan.

“Pekerja asing merangkumi 70 peratus daripada jumlah tenaga kerja dalam sektor perladangan sawit. Jadi kita sedar untuk mengurangkan kebergantungan terhadap mereka memerlukan pendekatan khusus.

“Antara yang terpenting menawarkan insentif tertentu kepada pekerja tempatan yang akan menyaksikan kadar upah lebih tinggi yang bakal dinikmati rakyat kita.

“Kita akan usulkan kepada kerajaan untuk diperhalusi memandangkan ia membabitkan implikasi kewangan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke makmal Orion Biosains Sdn Bhd di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Pengarah Komersial Asia Tenggara Orion Biosains Sdn Bhd, Shabani Bahrain.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, bagi memastikan penyertaan lebih ramai rakyat tempatan dalam sektor perladangan sawit, MPOB bercadang memperkasakan kursus yang ditawarkan Pusat Latihan Sawit (Plasma) miliknya di Keratong, Pahang dan Lahad Datu, Sabah.

Katanya, pemerkasaan pusat latihan berkenaan akan menjadi tumpuan MPOB bagi membuka ruang melahirkan lebih ramai rakyat tempatan yang berstatus pekerja mahir dalam sektor berkenaan.

“Bagi membolehkan rakyat kita menikmati insentif, mereka perlu menyertai kursus operasi mekanisasi ladang yang ditawarkan di bawah Plasma.

“Kita mahu latihan rakyat Malaysia khususnya golongan muda menjadi pekerja terlatih sekali gus boleh dijadikan sandaran untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing ,” katanya.

Sementara itu, MPOB menerusi kerjasama dengan Orion Biosains membangunkan teknologi pemprosesan DNA dikenali SureSawit bagi mengesan bahan tanaman bukan benih tenera yang mengeluarkan hasil yang rendah di peringkat awal.

Ahmad Jazlan berkata, pembangunan teknologi berkenaan akan membolehkan pekebun mengenal pasti benih yang ditanam lebih awal bermula di peringkat benih berbanding lima tahun ketika ini.

“Teknologi berasaskan genom sawit berpotensi dalam meningkatkan prestasi industri sawit, sejajar dengan matlamat kerajaan meningkatkan produktiviti minyak sawit melalui penyelidikan biak baka dan bioteknologi.

“Teknologi SureSawit adalah pencapaian unggul MPOB dalam memperkenalkan ujian DNA kepada sektor pertanian negara, yang mampu memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia,” katanya.