HIDANGAN berasaskan tempe bukan juadah asing bagi penduduk negara ini terutama dalam kalangan masyarakat Jawa dan ia menjadi kelebihan kepada seorang ibu tunggal yang menghasilkan inovasi coklat tempe di bawah jenama Missla.

Pengusahanya, Junaidah Abdul Moin berkata, biarpun kombinasi dua makanan itu janggal, ia tetap memberikan rasa seimbang dan unik sekali gus menonjolkan rasa tempe tanpa menutup rasa asli coklat.

Menurutnya yang mula menghasilkan tempe sejak 2006, inovasi makanan itu dicetuskan anaknya yang mahu produk tempe dipelbagaikan dan mereka mula menghasilkan coklat tempe pada 2013.

“Saya juga hairan bagaimana mahu gabungkan dua makanan ini kerana belum pernah lihat orang buat coklat campur tempe.

“Tetapi kami cuba untuk mencari kelainan biarpun lebih 10 kali gagal sebelum saya mendapat bantuan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) selama lapan bulan,” katanya ketika ditemui di bengkel industrinya di Felcra Bandar Seberang Perak, Changkat Lada di sini.

Mereka menghasilkan tiga jenis coklat berasaskan tempe iaitu asli, coklat putih dan buah-buahan.

“Setiap bulan kami gunakan 100 kilogram coklat dan tempe dihiris nipis sebelum dipanggang supaya lebih rangup. Kemudian ia dihancurkan dan diadun bersama coklat.

“Coklat tempe dihasilkan tiga kali seminggu dengan jumlah pengeluaran lebih 72,000 bar sebulan manakala tempe segar dihasilkan setiap hari,” katanya.

Junaidah yang juga pesakit kanser payudara tahap tiga sejak lima tahun lalu berkata, biarpun nisbah pengunaan dua bahan itu berbeza, namun inovasi itu tetap memberikan rasa seimbang melalui tempe hancur.

“Ramai terkejut dan pelik apabila diberitahu kombinasi dua makanan ini, tetapi mereka memberi reaksi positif selepas merasainya.

“Tak semua orang suka tempe terutama kanak-kanak, tetapi inovasi ini memberi peluang kepada mereka merasai juada warisan ini,” katanya.