PENGGUNAAN RRIMniaga, inovasi terkini Lembaga Getah Malaysia (LGM) dijangka dapat dimanfaatkan lebih 130,000 pekebun kecil di seluruh Malaysia.

Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata, RRIMniaga adalah inovasi LGM iaitu aplikasi telefon pintar bagi merekodkan urus niaga getah oleh pelesen (peniaga getah).

Katanya, RRIMniaga dapat memudahkan proses pembelian getah di mana proses penyediaan resit, laporan jual beli dan permohonan insentif getah dapat dijana secara automatik.

“RRIMniaga dapat mempermudah aktiviti urus niaga getah sedia ada yang mana peruncit, pembeli dan peraih tidak perlu lagi membeli buku resit, buku rekod jualan dan belian daripada pejabat LGM.

“Penggunaan RRIMniaga juga dapat memastikan proses transaksi getah berjalan lancar dan telus bagi kebaikan semua yang terbabit dalam urusan jual beli getah,” katanya.

Menurutnya, RRIMniaga mempunyai kelebihan dan dihubungkan terus dengan sistem data pekebun kecil (IPG) bagi setiap aktiviti urus niaga getah.

Beliau berkata, penggunaan RRIMniaga dapat memberi manfaat kepada pekebun kecil dari segi permohonan IPG.

“Pekebun kecil akan menerima manfaat IPG tanpa melalui proses konvensional kerana RRIMniaga merekod transaksi pembelian secara automatik dan mengeluarkan resit pembelian secara elektronik,” katanya.