Kuala Lumpur: AIRAZ Technologies Sdn Bhd, pelopor teknologi drichill kini berada di landasan kukuh mengembangkan jenamanya, Innersejuk ke peringkat antarabangsa.

Pengasasnya, Azrul Izzam Kamarul Zaman berkata, perniagaan yang dibangunkan sejak 2011 itu kini bukan saja dikenali pelanggan tempatan, malah luar negara.

Katanya, kira-kira RM1 juta diperuntukkan syarikat bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam menghasilkan fabrik yang sejuk dan sesuai untuk wanita berhijab terutama dengan cuaca panas dan lembap di negara ini.

“Pada mulanya, syarikat memfokus kepada pengeluaran tudung segera. Pada 2017 baharu kami menghasilkan Innersejuk dan pada 2018 kami mula mengeluarkan pakaian sukan untuk wanita berhijab menggunakan fabrik drichill ini.

“Pakaian Innersejuk ini tidak terhad kepada wanita Muslim saja, malah 20 peratus pelanggan kami terdiri daripada bukan Muslim.

“Rata-rata koleksi Innersejuk menerima permintaan tidak hanya di Malaysia, malah majoriti pelanggan kami dari Brunei, Singapura, Timur Tengah, Australia dan Eropah.

“Kami menjual produk Innersejuk ini menggunakan platform dalam talian dan terbaharu syarikat menerima permintaan dari China untuk pakaian sukan,” katanya.

Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Innersejuk turut menghasilkan pelitup muka fabrik yang mana kini 80 peratus daripada jualan syarikat disumbangkan dari segmen itu.

Azrul berkata, setiap tiga atau enam bulan pihaknya menambahbaik reka bentuk koleksi dikeluarkan untuk memenuhi permintaan pasaran.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut mengetengahkan konsep lebih mudah untuk mereka yang ingin menjana pendapatan sampingan dengan Innersejuk.