INIX Technologies Holdings Bhd (Inix) menjalin kerjasama dengan Duria Manufacturing Sdn Bhd (Duria) untuk membina tiga kemudahan pengeluaran produk berasaskan durian baru dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pengarah Eksekutif Inix, Siva Kumar Kalugasalam, berkata pembinaan kemudahan baru itu bertujuan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mempelbagaikan produk berasaskan duriannya untuk pasaran domestik dan eksport.

Siva berkata, Duria adalah pelaburan baru bagi pihaknya dan menyasar dapat memberikan pulangan semula sekurang-kurangnya 20 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Jumlah pelaburan akan ditentukan kelak berdasarkan keperluan semasa. Pelaburan utama kami adalah dalam pembinaan kemudahan utama untuk pengeluaran produk Duria.

“Ketika ini kami merancang satu kemudahan di Perak dan akan diikuti oleh dua kemudahan lagi dalam masa terdekat.

“Kemudahan baru itu berupaya meningkatkan pengeluaran sekaligus mampu mencapai pasaran yang lebih meluas. Ia dijangka siap dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang,” katanya selepas majlis memorandum persefahaman antara Inix dan Duria di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Siva berkata, pelaburan Inix akan dilaksanakan secara berperingkat dan pihaknya percaya pengukuhan jualan serta jenama Duria akan memberi pulangan yang lebih baik kepada pemegang saham.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Duria, Wong Woei Ming, berkata kerjasama strategik yang dilaksanakan dengan Inix itu membantu meningkatkan sasaran jualannya pada 2021 sebanyak RM75 juta berbanding RM55juta pada tahun ini.

Beliau berkata, produk Duria menunjukkan peningkatan jualan dan permintaan daripada pasaran luar negara terutamanya di China. Ketika ini katanya, selain China, Produk Duria dipasarkan di Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, Hong Kong dan Singapura.

“Dalam tempoh setahun yang lalu, produk Duria mendapat permintaan tinggi untuk eksport sebanyak 85 peratus berbanding 15 peratus untuk pasaran tempatan.

“Tetapi disebabkan penularan pandemik COVID-19 serta penutupan sempadan, pada ketika ini peratusan eksport dan pasaran tempatan masing-masing sekitar 60 peratus dan 40 peratus.

“Namun kami percaya, kerjasama dengan Inix akan membantu meningkat semula eksport selain merancang untuk menembusi pasaran baru di Taiwan dan Jepun,” katanya.

Ming berkata, berdasarkan peningkatan jualan Duria tahun ke tahun, pihaknya juga merancang untuk penyenaraian Duria tidak lama lagi.