ALLIANCE Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) melancarkan inisiatif #SupportLokal bertujuan membantu perniagaan kecil tempatan untuk terus menjana pendapatan atau mengembangkan perniagaan mereka secara digital sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam tempoh dua minggu selepas #SupportLokal mula diperkenalkan melalui saluran sosial dan laman web korporat Alliance Bank, inisiatif itu berjaya mencapai lebih 1.7 juta rakyat Malaysia melalui Facebook dan menjana lebih 6,000 klik pautan ke laman web atau laman Facebook perniagaan kecil tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, sebagai bank yang fokus kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ia meningkatkan usaha membantu usahawan dalam menghadapi krisis, mengekalkan pekerjaan dan mengukuhkan lagi perniagaan selepas wabak ini berakhir.

“Antara bantuan diberi termasuk menyediakan peluang pemasaran, penjenamaan dan penjualan yang lebih mudah diakses serta penyediaan dana,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, Alliance Bank meluluskan pembiayaan melebihi RM443 juta bagi membantu meredakan masalah aliran tunai dihadapi perniagaan di Malaysia menerusi program pembiayaan di bawah Kemudahan Bantuan Khas (Special Relief Facility, SRF) Bank Negara Malaysia.

Program itu merangkumi kelulusan pembiayaan RM319 juta kepada hampir 450 PKS sepanjang dua bulan lalu.

Kornreich berkata, idea di sebalik inisiatif #SupportLokal bertujuan membantu perniagaan kecil tempatan melaksanakan usaha penjenamaan dan pemasaran mereka menerusi Facebook serta memudahkan penggunaan teknologi digital sebagai saluran hasil alternatif.

Katanya, selain aset digital media sosial dan laman web korporat milik sendiri, bank bekerjasama dengan beberapa platform e-dagang bagi membantu perniagaan kecil tempatan meluaskan capaian kepada lebih ramai pengguna secara digital dan memanfaatkan saluran hasil alternatif.

“Yuran komisen e-dagang turut diberi subsidi,” katanya.

Menerusi inisiatif #SupportLokal, katanya, pemilik perniagaan akan turut diberikan khidmat nasihat dan latihan menerusi web dan video bagi membantu mereka berjaya dalam usaha digital masing-masing.

“Bagi perniagaan tempatan yang sebelum ini tidak beroperasi secara dalam talian tetapi mahu memulakannya sekarang, kami membantu mereka dengan memudahkan proses dengan kerjasama rakan strategik di bawah inisiatif #SupportLokal,” katanya.

Alliance Bank menerusi laman web korporatnya menyediakan #SupportLokal Online Bazaar yang disertai oleh alumni BizSmart Challenge dan pelanggan PKS.