PERSATUAN Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) yang mewakili industri simen di Malaysia mengatakan kelulusan untuk membenarkan kilang simen beroperasi dalam fasa 3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan memberi kesan berlipat ganda kepada ekonomi.

Ia termasuk menyelamatkan ribuan pekerjaan.

Pengerusinya, Datuk Yeoh Soo Keng berkata, industri simen menyediakan lebih 100,000 pekerjaan secara langsung dan tidak langsung, termasuk mengambil dan melatih graduan tempatan dari bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Industri ini juga menyediakan kontrak perkhidmatan kepada ribuan kontraktor dan pembekal, yang kebanyakannya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“C&CA menghargai langkah kerajaan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas tindakan mereka yang cepat dalam membenarkan kilang simen beroperasi semula bagi menyokong industri pembinaan tempatan dan pasaran eksport.

“Simen adalah bahan bangunan asas industri pembinaan yang penting untuk kelangsungan projek pembinaan yang kritikal.

“Kelulusan yang diberikan kepada industri simen untuk meneruskan operasi adalah dialu-alukan. Ia memberi kelegaan kepada syarikat dan pekerja mereka,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

YEOH Soo Keng
YEOH Soo Keng

Katanya, industri ini mengalami kerugian besar tempoh dua tahun kebelakangan ini dan pandemik Covid-19 lebih memburukkan keadaan.

“Oleh itu, C&CA menggesa pemerintah untuk membenarkan projek pembinaan yang memenuhi syarat dan garis panduan yang diperlukan dimulakan semula secara serentak selama tempoh PKP, selain membenarkan sektor berkaitan untuk beroperasi secara beransur-ansur agar industri dapat bergerak semula secara efektif,” katanya .

Yeoh berkata, C&CA mengakui tindakan pantas kerajaan dalam menerapkan langkah-langkah ketat untuk memotong rantai jangkitan Covid-19.

Antara pengeluar simen terkemuka di Malaysia adalah YTL Cement Bhd, Hume Industries Bhd, Tasek Corp Bhd dan Cement Industries of Malaysia Bhd.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan