MALAYSIA perlu menerokai potensi buluh sebagai komoditi terbaharu yang boleh menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi pelbagai peringkat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kini kerajaan menggalakkan buluh ditanam dalam skala lebih besar supaya Malaysia dapat menjadi antara pengeluar terbesar dunia untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Menurutnya, berdasarkan saiz pasaran dunia semasa, industri hiliran buluh mampu menjana pendapatan AS$68 bilion (RM298.6 bilion).

Katanya, kerajaan melihat potensi besar ini perlu dimanfaatkan rakyat negara ini dengan mengusahakan ladang buluh komersial dan mampu menampung permintaan pasaran global.

“Kerajaan juga memberi insentif sebanyak RM10,000 untuk satu hektar dan pendapatan yang dijana pengusaha buluh boleh mencecah RM32,000.

“Kita tidak lagi bergantung kepada negara luar seperti China dan Jepun yang kini sudah mula menerokai industri berkenaan kerana melihat potensi besar dalam merancakkan ekonomi,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri rakaman program Soal Rakyat terbitan TV3 di Sri Pentas, semalam.

Mohd Khairuddin berkata, kini perusahaan buluh hanya berskala kecil di peringkat kampung dan bekalannya pula diperoleh dari hutan.

Katanya, sudah tiba masa Malaysia menerokai industri ini kerana manfaatnya sangat besar kepada ekonomi dan lebih penting menawarkan peluang pekerjaan lebih banyak kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kejatuhan harga minyak mentah dunia di Amerika Syarikat (AS) sehingga paras negatif, pada Isnin memberi kesan kepada industri getah sintetik yang menggunakan bahan itu dalam pembuatannya kerana kos menjadi lebih murah.

“Bila harga getah sintetik murah ia akan memberi cabaran kepada kita (Malaysia) yang mengeluarkan getah asli.

“Cuma tidak semua negara yang dapat mengeluarkan getah asli disebabkan Covid-19, jadi kita berharap penentuan harga diperingkat global lebih stabil dan tidak menjejaskan industri getah negara,” katanya.