Kerajaan tidak boleh menyuntik atau memberi bantuan langsung dalam bentuk kewangan kepada isi rumah dan pekerja dalam satu tempoh yang lama. – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu segera membuka semua sektor ekonomi domestik dalam memastikan segala pelan yang direncanakan dapat memberi impak maksima kepada kemuniti perniagaan dan rakyat secara keseluruhannya.

Pensyarah kanan ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Yusof Saari berkata dua per tiga daripada pendapatan yang dijana rakyat datangnya daripada sektor ekonomi.

Malah, katanya kerajaan tidak boleh menyuntik atau memberi bantuan langsung dalam bentuk kewangan kepada isi rumah dan pekerja dalam satu tempoh yang lama.

“Ini akan memastikan juga perancangan atau inisiatif-inisiatif yang ada dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek ini dapat dilaksanakan secara efisyen dan efektif. 

“Jika kita masih hanya membuka sebahagian sektor ekonomi sahaja, ia tidak akan memberi kesan maksima kepada ekonomi.

“Kita mesti ingat bahawa kesan ‘kecederaan’ akibat COVID-19 dan juga semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sangat hebat dan rakyat terkesan sangat,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Jumaat.

Tambahnya lagi, wujud kemungkinan kadar pengangguran yang diunjurkan Jabatan Perangkaan sebelum ini lebih tinggi jika sektor ekonomi tidak dibuka.

Ujar Yusof lagi, berdasarkan situasi semasa COVID-19 termasuk cara Malaysia mengawal dan merawat penyakit ini, beliau berpandangan sudah tiba masanya ekonomi dibuka semula.

“Kalau kita lihat dari segi jumlah jangkitan dan kematian amat tidak signifikan. Berdasarkan kiraan mudah saya, jumlah kematian akibat COVID-19 pada jumlah penduduk Malaysia hanya 0.0004 peratus dan dari segi jumlah jangkitan adalah 0.02 peratus, iaitu jumlah yang sangat kecil.

“Saya berpandangan, dengan kemudahan dan kepakaran KKM yang kita ada, sudah cukup untuk membolehkan kita membuka semula ekonomi.

“Pada masa yang sama, kita perlu berada dalam kesiapsiagaan dalam menghadapi apa-apa kemungkinan,” jelasnya.

Justeru beliau melihat kepatuhan rakyat kepada segala garis panduan yang ditetapkan Kerajaan sebelum ini tidak menjadi masalah atau beban yang besar untuk Kerajaan membuka semula ekonomi di peringkat domestik.