Pakar Ekonomi Pensyarah Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari yakin kerajaan akan mengambil langkah terbaik mengurangkan impak ekonomi kesan dari PKP dan COVID-19.

KUALA LUMPUR: Ketika rakyat berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, beberapa sektor perkhidmatan penting negara diberikan pengecualian dan dibenarkan beroperasi.

Kebenaran diberikan dengan garis panduan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai pencegahan penularan pandemik COVID-19.

Namun bagaimanakah impak PKP terhadap sektor-sektor lain terutamanya kepada ekonomi negara jika tempoh ini berlarutan?

Pensyarah Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari menjelaskan kerajaan perlu mencari kaedah terbaik dalam memastikan impak kepada ekonomi negara dapat diminimakan.

Ujarnya, ketika ini sudah ada tanggapan 'ekono-virus' iaitu keresahan dalam kalangan sektor perniagaan apabila pengoperasian mereka terhenti.

Justeru, beberapa sektor kata Prof Madya Dr Mohd Yusof, perlu dinilai kepentingannya, lebih lagi jika sektor terbabit dapat menyumbang kepada peningkatan tenaga kerja serta pendapatan isi rumah.

"Pertama, sektor mana rantaian bekalan, perlu melihat beberapa aspek pertimbangan sama ada sektor ini penting di sepanjang rantaian bekalan, ia mencipta peluang pekerjaan dan gunakan banyak tenaga buruh dan pekerja di luar sana atau rantaian bekalan mampu meningkatan pendapatan pengguna dan isi rumah.

"Kedua, menentukan sektor mana akan cepat untuk pulih kalau dibenarkan beroperasi. Ini adalah penting dan diberi keutamaan, tidak dinafikan sektor kesihatan diutamakan," katanya ketika ditemubual Astro AWANI.

Ujarnya, dalam usaha memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung, kerajaan pada masa yang sama perlu membuka sektor perniagaan yang penting dahulu sebelum memberi laluan kepada sektor lain secara berfasa ataupun berperingkat.

"Keutamaannya adalah sektor menjadi jantung rantaian bekalan dimana kita perlu fokus sektor-sektor mempunyai rantaian bekalan sangat tinggi. Rantaian bekalan itu perlu dilihat dari sudut pertimbangan pekerja atau pendapatan isi rumah.

"Sektor ini nampak memberi peluang kepada golongan B40 dan M40 khususnya di luar bandar, sekaligus kita mahu sektor itu dibuka terlebih dahulu," katanya lagi.