IBU Pejabat Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) dan Cawangan Jalan Melaka di Kuala Lumpur akan kembali beroperasi esok berikutan keputusan kerajaan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Masjid India dan jalan-jalan sekitarnya berkuatkuasa 3 Mei 2020.

Susulan itu, semua kakitangan BMMB yang terbabit dalam perkhidmatan penting di bangunan Ibu Pejabat dan cawangan Jalan Melaka akan kembali bertugas di premis berkenaan.

Namun, hanya sebahagian besar daripada warga kerjanya di dua lokasi berkenaan akan terus bekerja dari rumah untuk membantu mengekang penularan pandemik Covid-19.

Bank Muamalat dalam kenyataan hari ini berkata, cawangan Jalan Melaka akan dibuka dari jam 10 pagi hingga jam 2 petang pada hari Isnin hingga Jumaat sementara waktu operasi Terminal Layan Diri (SST) dari jam 6 pagi hingga tengah malam setiap hari.

Katanya, walaupun cawangan itu akan beroperasi semula esok, Bank Muamalat mengalakkan pelanggannya untuk menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa di seluruh negara.

Sebelum ini, kawasan Masjid India dan jalan-jalan sekitarnya diletak di bawah PKPD bermula 14 April lalu.