Kuala Lumpur: Kerajaan hari ini perlu menguruskan hutang baik dan hutang buruk, namun ia bukan alasan tidak berbelanja untuk rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, terdapat hutang baik dan hutang buruk dalam pecahan hutang negara di mana setiap satunya mempunyai impak tersendiri.

“Hutang baik adalah seperti pinjaman yang kita ambil untuk tampung kos inisiatif bagi membantu rakyat dan menyelamatkan pekerjaan.

“Pinjaman bagi membangunkan infrastruktur untuk rakyat seperti lebuh raya dan kemudahan awam lain juga adalah contoh hutang baik.

“Manakala, hutang buruk adalah hutang yang tidak membawa sebarang faedah ekonomi atau manfaat untuk rakyat hari ini. Ia termasuklah sebahagian hutang yang perlu kerajaan urus disebabkan bebanan hutang legasi.

“Walaupun hutang ini bukan hutang dibuat kerajaan hari ini, tetapi ia tetap hutang yang perlu kita uruskan. Kesannya memang besar tetapi kita cuba uruskan dan ia juga bukan alasan kerajaan tidak berbelanja untuk rakyat,” katanya dalam pembentangan Laporan Laksana ke-46 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), hari ini.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi biasa, kerajaan perlu mengimbangi di antara perbelanjaan untuk rakyat dan kadar hutang negara.

“Namun, apabila negara berada dalam krisis ekonomi, maka keperluan perbelanjaan untuk rakyat akan lebih besar menyebabkan paras hutang juga meningkat.

“Ekoran itu, kerajaan telah meletakkan kepentingan untuk membantu rakyat sebagai keutamaan, termasuk dengan menyuntik sejumlah RM340 bilion ke dalam ekonomi melalui beberapa siri pakej stimulus.

“Walaupun ia menaikkan hutang kita, namun ia masih tidak melepasi had statutori,” katanya.

Had statutori yang selalu disebut-sebut adalah had statutori untuk instrumen hutang yang diterbitkan kerajaan, iaitu Malaysian Government Securities (MGS), Malaysian Government Investment Issues (MGII) dan Malaysian Islamic Treasury Bills (MITB).

Jenis-jenis hutang yang dikira di bawah had statutori ini adalah di bawah akta yang digunapakai oleh kerajaan sejak 2009.

Jumlah hutang bagi tiga instrumen terbitan ini pada akhir Disember 2020 adalah 58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada akhir Februari 2021, jumlah hutang ini adalah 54 peratus KDNK dan dijangka mencecah 58.5 peratus pada akhir tahun ini.

Maka, ia masih belum melepasi had hutang statutori sebanyak 60 peratus.

Tengku Zafrul berkata, pada masa sama, Kementerian Kewangan akan terus memantau hutang negara bagi memastikan ia terkawal bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan agensi antarabangsa.

“Tanpa keyakinan mereka, rakyat akan terkesan dengan pelbagai impak negatif seperti kurangnya pewujudan pekerjaan dan peluang perniagaan,” katanya.