PROTON Holdings Bhd (Proton) memulakan aktiviti membuat pelindung muka untuk petugas perubatan barisan hadapan seiring dengan komitmen syarikat bagi membantu memerangi penyebaran virus Covid-19 di Malaysia.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed berkata, 3,000 unit mampu dihasilkan dalam sehari dan syarikat itu menjangkakan aktiviti berkenaan akan mengambil masa 20 hari untuk menghasilkan 60,000 unit pelindung muka seperti dijanjikan.

“Kumpulan pertama iaitu 8,000 unit pelindung muka dihantar pada 16 April ke hospital di Kelantan dan seterusnya ke negeri di pantai timur lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, proses bermula dengan membuat rekaan dan menguji prototaip serta mendapatkan maklum balas pengguna untuk memastikan produk akhir memenuhi keperluan ditetapkan.

“Reka bentuk asal pelindung muka ini sumbangan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM),” katanya.

Pereka di Proton Design membina bingkai peralatan ini berdasarkan maklum balas daripada pengguna dan turut menambah slogan Stay Strong! We will get through this!”.

Pada masa sama, pasukan projek perlu mengenal pasti kawasan sesuai menghasilkan peralatan itu secara selamat dan cekap bagi memenuhi protokol kesihatan Covid-19.

“Seramai 50 kakitangan bekerjasama memasang peralatan dengan mengukur dan memotong pelbagai komponen diperlukan sebelum memasang produk akhir,” katanya.

Proton turut dibantu komuniti pembekalnya yang ingin terbabit sama dalam usaha ini, antaranya dari Pos Logistics Sdn Bhd.

Mereka menyumbang lebih 2,000 kotak besar digunakan untuk membungkus pelindung muka itu dan memudahkannya dipindahkan.

Pembekal komponen automotif, HICOM-Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd juga antara pembekal lain menyokong inisiatif ini. Mereka menyumbang 1,500 kilogram polipropilena, antara komponen utama bagi bampar kereta yang digunakan untuk menghasilkan bingkai pelindung muka itu.

Katanya, syarikat itu juga berkomunikasi dengan komuniti pembekal untuk mendapatkan penglibatan mereka dan sambutan yang diberikan begitu menggalakkan.

“Sektor automotif Malaysia mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada negara demi membendung pandemik Covid-19 dan semoga kita semua mampu melawan penularan virus ini dan membantu memutuskan rantaian jangkitan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19