HONG Leong Bank (HLB) meluluskan kemudahan pinjaman bernilai RM1.3 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Khas (SRF) Bank Negara Malaysia, setakat 30 April lalu.

Ia memberi manfaat kepada lebih 1, 600 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), di negara ini.

PKS itu merangkumi pelbagai sektor termasuk perdagangan borong dan runcit, pembuatan, pembinaan, pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.

Ketua Perbankan PKS HLB, Terrence Teoh berkata, bagi memastikan PKS mendapat bantuan kewangan yang diperlukan dan pada kadar yang pantas, pihaknya mempermudahkan proses permohonan untuk SRF.

Katanya, ia termasuk memberikan fleksibiliti kepada pemohon sekali gus meringankan beban dan kegelisahan pelanggan.

“Kami membuatnya lebih mudah dan lancar bagi pelanggan dan mereka dapat mengajukan permohonan melalui e-mel selain menyelesaikan permohonan melalui penerimaan persetujuan digital.

“Ini bukan sahaja selaras dengan strategi HLB yang mendahulukan pendekatan digital malah iajuga membolehkan kami menolong pelanggan meringankan beban kewangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ada sekatan fizikal yang menghalang proses perkhidmatan bank secara tradisional,” katanya.

HLB juga membantu pelanggan individu PKS dalam program penangguhan pinjaman yang diperkenalkan pada 1 April lalu untuk jangka masa enam bulan.

Dengan semua inisiatif ini, pihaknya berharap ribuan PKS terus beroperasi semasa pandemik ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, PKS merangkumi 98.5 peratus daripada kesemua perniagaan di Malaysia dan terjejas teruk semasa PKP.

“Sebagai bank yang mempunyai warisan keusahawanan yang kuat, kami memahami bahawa aliran tunai adalah cabaran terbesar PKS. Pada masa ini, mereka menghadapi tekanan kewangan untuk memastikan perniagaan tetap bertahan serta dapat melindungi kehidupan majikan dan pekerja mereka.

“Kami tetap berkomunikasi dengan pelanggan sepanjang tempoh PKP untuk membantu PKS sebaik mungkin dalam kemampuan kami. Ini termasuk memberikan kredit dan menangguh pembayaran yang diperlukan oleh PKS untuk membantu pengurusan aliran tunai jangka pendek.

“Kami juga membantu mereka mendigitalisasikan perbankan mereka untuk membolehkan mereka beroperasi di bawah pergerakan terhad,” katanya.