KualaLumpur: Guoying Group Co Ltd (Guoying Group), syarikat berpangkalan di Macau sudah mengemukakan cadangan untuk membangunkan sebidang tanah berkeluasan 320 hektar di selatan Perak.

Syarikat berkenaan kini menunggu kelulusan permohonan berkaitan pembangunan berkenaan daripada kerajaan negeri Perak.

Pengerusinya, Wan Kuok Koi berkata, pihaknya mengemukakan permohonan itu kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perak bagi cadangan pelaksanaan projek itu.

“Jika kerajaan negeri meluluskannya, Guoying Group akan memulakan suntikan dana sebanyak RM100 juta untuk pembangunan tanah berkenaan.

“Kami merancang membangunkan resort air panas di Perak dan membina sebanyak 80,000 kediaman pelbagai jenis dalam tempoh tiga tahun bagi memacu pembangunan di negeri Perak,” katanya dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-15.

Kuok Koi ialah hartawan Macau yang dilantik sebagai Pengerusi INIX Technologies Holdings Bhd pada bulan lalu dan kini bergiat aktif menyertai pasaran Malaysia selepas ekonomi negara dibuka semula susulan Covid-19.

Kuok Koi juga menyatakan minat untuk bekerjasama dan menambah pelaburan di Malaysia serta terbabit dalam ekonomi pasca-Covid-19.

Katanya, beliau mengadakan lawatan ke Perak Januari lalu dan bertemu kerajaan negeri.

“Pada waktu itu, kami bertemu Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan Pengarah Eksekutif INIX, Lee Han Keat,” katanya.

Buat masa ini, katanya, beliau dan Han Keat berbincang dengan kerajaan negeri Perak untuk memperincikan cadangan perancangan bagi memastikan ia memberikan manfaat kepada pembangunan dan pembinaan, sekali gus mempromosikan pembangunan ekonomi negeri itu.