Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 melanda ketika ini dilihat tidak ‘menembusi’ sebahagian individu terkaya dunia apabila ada antara mereka terus mencatat peningkatan aset dan kekayaan.

Berdasarkan senarai tahunan ke-34 dikeluarkan Forbes, sehingga Mac lalu, seramai 2,095 hartawan dicatatkan di seluruh dunia berkurangan 58 orang berbanding tahun lalu.

Namun berdasarkan senarai berkenaan, 51 peratus daripada hartawan ini dilihat ‘lebih miskin’ berbanding tahun lalu berdasarkan nilai kekayaan mereka.

Nilai keseluruhan kekayaan semua hartawan ini AS$8 trilion (RM34.8 trilion), merosot AS$700 bilion berbanding 2019.

Jeff Bezos kekal individu terkaya dunia tiga tahun berturut-turut dengan nilai kekayaan AS$113 bilion (RM491 bilion).

Berikutan pandemik Covid-19 yang menyaksikan lebih ramai pengguna duduk di rumah dan kerap membeli-belah dalam talian, beliau mengambil 100,000 pekerja sepenuh masa dan separuh masa untuk memenuhi permintaan yang luar biasa.

Beliau juga masih kekal sebagai hartawan walaupun perlu memberi saham Amazon bernilai AS$36 bilion (RM156.4 bilion) kepada bekas isterinya, MacKenzie Bezos sebagai sebahagian penyelesaian perceraian mereka.

Bill Gates kekal di tangga kedua dengan kekayaan bernilai AS$98 bilion (RM425.8 bilion), meningkat AS$1.5 bilion berbanding tahun lalu.

Buat pertama kalinya, taikun Bernard Arnault berada dalam senarai tiga teratas selepas mengenepikan Warren Buffett.

Arnault memiliki kekayaan bernilai AS$90 bilion (RM391 bilion), meningkat AS$1.2 bilion berbanding tahun lalu. Pemilik konglomerat LVMH berpengkalan di Paris, Perancis itu, turut memiliki jenama mewah terkemuka antaranya Louis Vuitton, Céline, Charles & Keith, Christian Dior, Fendi dan Marc Jacobs.

Alice Walton pewaris perniagaan Walmart muncul wanita terkaya dunia dengan nilai kekayaan AS$54.4 bilion (RM236.4 bilion).

Hanya 241 wanita berada dalam senarai hartawan dunia termasuk tujuh daripadanya yang berkongsi kekayaan dengan pasangan, adik-beradik atau keluarga.

Secara keseluruhan, 267 hartawan disenaraikan tahun lalu mencatat penurunan ketara dengan 21 daripadanya meninggal dunia.

Namun, Forbes menerima 178 nama baharu untuk senarai tahun ini termasuk Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Zoom, Eric Yuan.

Amerika Syarikat kekal sebagai negara mencatatkan ramai hartawan dengan 614 individu diikuti China (termasuk Hong Kong dan Macau) dengan 389 individu, Jerman (107 individu), India (102 individu) dan Rusia (99 individu).