Kerajaan komited memastikan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mampu meraih keuntungan pada masa hadapan, namun ia bergantung pada harga minyak dunia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerugian yang diumumkan Petronas Jumaat lalu adalah disebabkan harga minyak yang rendah, bagaimanapun ketika ini ia menunjukkan peningkatan.

“Kalau tak silap saya pada Mac dan April lalu, harga minyak jatuh sampai AS$20 setong, sekarang ini sekurang-kurangnya berlaku peningkatan ekonomi global…unjuran harga minyak tahun ini kira-kira AS$40 setong, jadi ia masih lagi dalam jajaran dalam unjuran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengulas pengumuman Petronas pada 4 September lalu bahawa ia mencatatkan kerugian sebanyak RM21 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2020 berbanding keuntungan RM14.7 bilion dicatatkan pada tempoh sama sebelumnya.

Selain itu, Petronas merekodkan hasil rendah sebanyak RM34.04 bilion bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun 2020, daripada RM59.12 bilion disebabkan terutama impak daripada purata harga direalisasi rendah yang dicatatkan bagi produk utama berikutan kuantiti jualan rendah terutama bagi produk petroleum, gas dan gas asli cecair (LNG) serta gas diproses.

Tengku Zafrul dalam rangka lawatan rasmi ke Terengganu selama dua hari mulai semalam.

Terdahulu beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, walaupun Petronas tidak mencatat keuntungan, royalti minyak untuk Terengganu tetap disalurkan pada bulan ini (September) seperti mana yang diputuskan kerajaan, namun jumlahnya masih perlu diperhalusi berdasarkan keadaan semasa.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata, kerugian yang dicatatkan Petronas tidak akan menjejaskan pembangunan negara kerana kerajaan mempunyai beberapa inisiatif untuk menstabilkan ekonomi dan memperoleh pendapatan.

“Kerajaan masih lagi akan melakukan perbelanjaan terutama untuk pembangunan. Oleh sebab itu defisit fiskal kita akan naik. Defisit negara dijangka meningkat dengan pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di mana ia diunjurkan meningkat antara 5.8 peratus hingga 6.0 peratus berbanding 3.4 peratus yang dicatatkan tahun lalu.

“Perbelanjaan dilakukan kerajaan khususnya pembangunan, menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus membuat perbelanjaan yang penting untuk membantu rakyat dan perniagaan bagi mengaktifkan semula ekonomi,” katanya.

Kerajaan bukan sahaja bergantung kepada sumber daripada Petronas, tetapi negara juga mempunyai hasil lain dan sumbangan Petronas adalah kurang daripada 20 peratus.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, melalui pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), rakyat Terengganu menikmati manfaatnya yang bernilai RM767 juta manakala menerusi Penjana pula usahawan mendapat manfaat bernilai RM257 juta.

“Dari segi memperkukuhkan ekonomi pula, kerajaan Pusat menyalurkan bantuan bernilai RM3.8 juta melalui projek kecil. Kerajaan juga membincangkan pelbagai langkah yang boleh diusahakan bagi melonjakkan lagi ekonomi Terengganu terutama dalam persekitaran penularan Covid-19 ketika ini,” katanya.

Antara fokus utama lawatan rasmi delegasi daripada Kementerian Kewangan ke Terengganu adalah untuk berjumpa dengan wakil persatuan dan pengusaha industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta wakil industri minyak, gas dan petrokimia.

Dalam pada itu, kerajaan persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan bantuan dan langkah-langkah yang akan disediakan oleh

kerajaan melalui Belanjawan 2021 akan sampai kepada kumpulan tersasar dengan telus dan cepat.

“Negeri Terengganu kaya dengan sumber semula jadi, warisan budaya dan anugerah alam sekitar semula jadi. Ia mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan. Potensi ini yang akan dikaji bersama melalui perbincangan dengan pihak berkepentingan,” katanya.