Minyak mentah Brent menokok pada AS$39.57 setong meningkat AS$1.25 atau 3.3 peratus. -The NMB Bergading Central Processing Platform

HARGA minyak naik lebih dari AS$1 setong pada Selasa.

Ia susulan potensi bagi pengeluar minyak mentah utama untuk bersetuju melanjutkan pemotongan pengeluaran yang dijangka dilaksanakan minggu ini ketika kebanyakan negara mula membuka semula ekonomi setelah penutupan akibat COVID-19.

Minyak mentah Brent menokok pada AS$39.57 setong meningkat AS$1.25 atau 3.3 peratus.

Manakala minyak mentah West Texas Intermediate Amerika (WTI) menokok pada AS$36.81 setong melonjak AS$1.37 atau 3.9 peratus.

Kedua penanda aras mendekati paras tertinggi untuk tiga minggu.

Presiden Perunding Lipow Oil Associates, Andy Lipow berkata terdapat jangkaan bahawa OPEC Plus akan bersetuju memperluaskan tahap semasa mereka selama dua bulan lagi.

Pada masa sama, pasaran menjangkakan pembukaan semula ekonomi seluruh dunia akan meningkatkan permintaan, sebelum pasaran minyak dijangka stabil menjelang Ogos.

OPEC Plus sedang mempertimbangkan untuk memanjangkan pemotongan pengeluaran mereka sebanyak 9.7 juta tong sehari atau sekitar 10 peratus daripada keluaran global pada Julai atau Ogos dalam pertemuan yang dijangka pada Khamis.

Di bawah rancangan OPEC Plus yang asal, pemotongan tersebut dijangkakan sehingga Mei dan Jun, dengan penurunan sebanyak 7.7 juta tong sehari dari bulan Julai sehingga Disember.

Arab Saudi telah berusaha untuk mengekalkan pemotongan yang lebih bagi tempoh jangka masa lama.

Pembukaan semula perniagaan secara beransur-ansur di beberapa negara dan Amerika Syarikat (AS) membuatkan permintaan ke atas bahan bakar meningkat dan ini mendorong kenaikan harga minyak.

Inventori minyak mentah amerika turun sebanyak 483 ribu tong dalam seminggu sehingga 29 Mei kepada 531 juta tong berbanding jangkaan penganalisis peningkatan tiga juta tong berdasarkan data American Petrolium Institute.