Goldman Sachs optimistik dengan peningkatan harga minyak tahun depan dengan pengeluaran yang rendah dan pemulihan separa dalam permintaan. – Gambar fail

HARGA minyak di pasaran global mencatatkan kenaikan sebanyak tiga peratus dengan lebih banyak negara mengumumkan akan melonggarkan langkah sekatan.

Menurut laporan Reuters, pelabur kini mula mengambil kira keadaan akan bertambah baik dalam perkiraan harga minyak.

Pada April, permintaan minyak di serata dunia jatuh 30 peratus susulan arahan tinggal di rumah dan penggunaan yang rendah.

Dalam dagangan semalaman di Amerika Syarikat (AS), harga minyak mentah Brent naik 76 sen kepada AS$27 setong dan harga minyak WTI naik 61 sen kepada AS$20 setong.

Tambahnya, ketika ini antara faktor yang dijangka menyokong harga minyak adalah pembukaan lebih banyak negeri di AS dan negara di Eropah serta pemotongan oleh ahli OPEC Plus yang berkuat kuasa pada 1 Mei.

Laporan Reuters menyatakan Goldman Sachs optimistik dengan peningkatan harga minyak tahun depan dengan pengeluaran yang rendah dan pemulihan separa dalam permintaan.

Ia menjangkakan Brent akan meningkat ke paras AS$55 setong, WTI akan meningkat kepada AS$51 setong pada 2021.

Namun, harga tersebut dikekang sentimen ada perang dagangan antara AS dan China berkenaan punca COVID-19.

Pesiden AS, Donald Trump pada minggu lepas mengancam akan mengenakan tarif ke atas China susulan dakwaan negara itu punca penularan COVID-19.