MR DIY Group (M) Bhd kini memiliki gudang robotik e-dagang di Seri Kembangan yang menghasilkan peningkatan 200 peratus dalam kecekapan operasinya.

Naib Presiden Pemasarannya, Andy Chin berkata, MR DIY melabur sekitar RM5 juta untuk mereka bentuk dan membina sistem gudang robotik e-dagang yang mampu memenuhi pembelian dalam talian dengan lebih cepat daripada sistem manual.

“Gudang ini membolehkan kami memproses pesanan dalam talian pada kadar tiga kali ganda bermakna pelanggan dapat menerima pesanan mereka dengan lebih cepat.

“Fungsi pemilihan automatiknya mengurangkan kemungkinan kesilapan manusia dan reka bentuk inovatifnya membolehkan gudang menyimpan pelbagai produk yang lebih luas, memberikan pelanggan pilihan yang lebih daripada 20,000 produk dalam talian,” katanya.

Menurutnya, melalui robotik, 1,500 hingga 2,000 pesanan boleh diproses setiap hari dan dihantar dalam tempoh yang ditetapkan.

“Tahap tugas automatik yang lebih tinggi juga mengurangkan keperluan tenaga kerja fizikal untuk proses berulang dan memberi peluang kepada pekerja gudang untuk meningkatkan kemahiran dalam robotik dan automasi, sekali gus membuka peluang buat mereka untuk memegang peranan sebagai penyelia dan pengurus,” katanya.

Chin berkata, e-dagang semakin meningkat sejak tahun lalu seiring dengan permintaan yang tinggi untuk membeli-belah dalam talian.

“Dengan munculnya pandemik ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, membeli-belah dalam talian berkembang dengan pesat dan telah menjadi tabiat pada masa ini,” katanya.