GUARDIAN Malaysia melancarkan konsep stor yang inovatif, dikenali sebagai SIS atau Store-In-Store.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kesihatan dan Kecantikan, Asia Tenggara, Guardian Health And Beauty Sdn Bhd, Soren Lauridsen berkata, situasi Covid-19 semasa mengubah cara pelanggan membeli-belah dalam pelbagai cara.

“Ada pelanggan memilih membeli secara dalam talian, dan ada yang masih lagi berkunjung ke stor tetapi dalam persekitaran yang selamat dan terjamin.

“Oleh itu, kami perlu mencari cara baru memikat pelanggan tanpa mengira apa platform pilihan mereka.

“SIS respon kami terhadap perubahan berlaku dan usaha kami untuk terus berkhidmat dan mencapai lebih ramai rakyat Malaysia agar mereka dapat menikmati manfaat ditawarkan Guardian dan Giant,” katanya.

Menurutnya, pada asasnya, SIS menjadi stor Guardian yang ditempatkan di dalam ruang membeli-belah pasar raya besar Giant.

“Setakat ini, dua Guardian SIS memulakan operasi iaitu di Giant Kota Damansara dan Giant Setapak.

“Giant Setapak tiada stor fizikal Guardian jadi kami harap respon baik untuk Guardian SIS di dalam pasar raya ini,” katanya.

SIS beroperasi seperti seksyen atau sebahagian daripada Giant dan pelanggan membuat bayaran untuk barangan daripada SIS di kaunter bayaran Giant, dan resit dikeluarkan oleh Giant.