GRAB Malaysia menjalin kerjasama dengan kerajaan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membawakan bazar Ramadan ke telefon pintar semua pengguna tahun ini.

Melalui kerjasama ini, Grab dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri akan membantu mendigitalkan ribuan peniaga di bazar Ramadan untuk menyediakan perkhidmatan mereka kepada jutaan rakyat Malaysia pada bulan Ramadan dengan selesa dan selamat di rumah mereka.

Sean Goh, Ketua Grab Malaysia berkata, setiap tahun, usahawan mikro dan penjual di laman sosial mengharapkan musim ini sebagai tempoh paling sibuk dan mengambil bahagian dalam bazar Ramadan di kawasan kejiranan mereka, mengadakan gerai “pop-up” di seluruh bandar-bandar kita.

“Namun, dalam keadaan semasa, mungkin tidak dapat menghasilkan jualan yang sama seperti sebelumnya.

“Oleh itu, kami mahu menyokong dan menggalakkan mereka untuk mengguna khidmat pembayaran tanpa tunai serta mengembangkan jangkauan mereka kepada jutaan pengguna Grab melalui perkhidmatan dalam ekosistem kami seperti GrabPay, GrabFood dan GrabExpress untuk membantu mereka menguruskan penghantaran barang mereka, sama ada makanan dari bazar sehinggalah pakaian untuk hari raya,” katanya.

Katanya, selain Selangor dan Kuala Lumpur, Grab juga aktif berbincang dengan PBT lain mengenai kemungkinan mendigitalkan peniaga bazar Ramadan tempatan untuk melindungi pendapatan usahawan-usahawan mikro ini.

“Selain itu, kami juga mempunyai dua inisiatif untuk membawa semangat Ramadan ke rumah rakyat Malaysia sambil menyokong perniagaan kecil dan usahawan mikro.

“Pertamanya, Grab bekerjasama dengan pelbagai pilihan rakan restoran yang menyediakan menu popular bazar Ramadan seperti ayam percik, murtabak dan roto john.

“Kedua, Grab juga mengalu-alukan penjual di laman sosial dan usahawan mikro berpangkalan di rumah di seluruh Malaysia untuk menggunakan rangkaian lebih 100,000 rakan pengantar di seluruh negara untuk membantu mereka memberi perkhidmatan kepada pelanggan mereka lebih mudah dan cekap,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan