PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus memainkan peranan lebih proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menangani wabak Covid-19.

Beliau yang mengadakan persidangan video bersama enam teraju utama GLC pagi hari ini turut membincangkan hal berkaitan ekonomi negara.

”Peranan GLC penting dalam membantu kerajaan merangka strategi ekonomi yang komprehensif semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Saya juga sudah meminta GLC memainkan peranan mereka masing-masing serta menjadi contoh kepada syarikat atau industri lain dalam membantu rakyat berdepan kesukaran ketika wabak Covid-19 ini,” katanya menerusi siaran akaun Facebook miliknya.

GLC yang terbabit dalam persidangan video berkenaan adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tunku Alizakri Raja Alias, CEO Permodalan Nasional Berhad (PNB) Jalil Rasheed dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) Datuk Shahril Ridzuan.

Turut sama dalam persidangan video itu termasuk CEO Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Syed Hamadah Syed Othman, CEO Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Nik Amlizan Mohamed dan CEO Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Nik Mohd Hasyudeen.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan