SEORANG bekas ketua setiausaha Kementerian Kewangan menggesa kerajaan menggerakkan tiga projek pembinaan mega yang sudah lama berada dalam perancangan untuk memulakan ekonomi pasca Covid-19.

Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkata, tiga projek yang menelan kos berbilion ringgit itu – Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) – boleh memacu ekonomi yang tidak aktif dan memulihkan kerosakan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik itu.

“Kerajaan tidak menyatakan dengan jelas kepada umum bila projek ini akan mula digerakkan untuk menjana tempahan kerja bagi firma profesional, syarikat pembinaan dan menggunakan khidmat peguam, akauntan, juruteknik dan pekerja am.

“Dan apabila mereka bekerja dan mendapat gaji, mereka akan berbelanja membeli nasi lemak, mi goreng, pisang goreng, teh tarik, yang sekali gus merancakkan semula aktiviti ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Namun menurut Sheriff, persoalan terbesar adalah bajet bagi projek-projek itu.

“Adakah kerajaan mempunyai bajet untuk memulakan projek mega seumpama itu? sekiranya bukan wang, apakah masalahnya untuk memulakan projek itu?” soalnya.

Dilaporkan pada 13 Februari projek ECRL bernilai RM44 bilion yang akan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Kota Bharu di Kelantan, sudah 15 peratus siap.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala China Communications Construction ECRL Sdn Bhd merupakan kontraktor utama.

Pada Disember 2019, kerajaan Malaysia dilaporkan sebagai berkata, projek HSR KL-Singapura bernilai RM60 bilion akan diteruskan tetapi ia mungkin memerlukan pelarasan tertentu bagi mengurangkan kosnya. – Bernama