TERAJU Agenda Bumiputera (Teraju) memperuntukkan geran bernilai RM15 juta bagi membiayai pemenang program Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB) 2020 edisi ke-15.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof berkata, program itu dijangka menerima 1,200 permohonan dari seluruh negara membabitkan individu dan syarikat permulaan Bumiputera.

Katanya, kali ini SUPERB menekankan produk berinovasi dan model perniagaan yang kreatif, ia selaras keutamaan kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran, memantapkan aktiviti perniagaan dan menggalakkan peralihan perniagaan tempatan kepada e-dagang dan ekonomi gig.

“Kerajaan juga optimis untuk menyemai inovasi digital dalam syarikat pemula niaga yang menjadi sebahagian usaha bagi memastikan mereka bersedia serta berdaya saing dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dan di peringkat global,” katanya pada sidang media selepas melancarkan SUPERB 2020 di sini, semalam.

“Program seperti SUPERB ini membuka peluang melahirkan lebih ramai usahawan muda dan secara langsung dapat meningkatkan kedudukan ekonomi Bumiputera,” katanya pada sidang media selepas melancarkan SUPERB 2020 di sini, semalam.