DANA bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang diperuntukkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) terus mendapat sambutan baik dalam kalangan usahawan yang mahukan suntikan bagi meneruskan operasi masing-masing selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, setakat 17 Mei lalu, Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menarik perhatian PKS dengan 14,075 permohonan diluluskan dengan nilai RM5.8 bilion.

“Jumlah yang diberikan ini termasuk dana Special Relief Facility (SRF), Agrofund dan Insurans Takaful untuk saringan Covid-19,” katanya ketika membentangkan Laporan Keenam Pencapaian Prihatin-Laksana melalui Facebooknya, semalam.

Menurutnya, pihaknya juga ingin menjelaskan bahawa pada peringkat awal sebanyak RM5 bilion diperuntukkan bagi SRF namun, disebabkan permintaan sangat menggalakkan dan peruntukan awal RM5 bilion sudah digunakan sepenuhnya, maka BNM menambah tambahan RM5 bilion untuk dana ini.

“Pada minggu lalu, lebih 20,000 permohonan berjumlah kira-kira RM10 bilion sudah diluluskan oleh institusi kewangan yang menawarkan SRF ini.

“Sejumlah RM5.75 bilion disetujuterima oleh 13,908 PKS manakala, RM4.25 bilion permohonan selebihnya pula sedang dalam proses pasca kelulusan termasuk permohonan jaminan dan setujuterima oleh pemohon,” katanya.

Menurutnya, Geran Khas Prihatin (GKP) untuk PKS mikro pula mencatatkan 642,979 permohonan dengan peruntukan RM1.93 bilion.

“Bagi Skim Kredit Mikro dengan kadar faedah atau keuntungan 0 peratus, di bawah skim kredit mikro Bank Simpanan Nasional (BSN), 3,537 permohonan sudah diluluskan, bernilai RM145 juta.

“Bagi program Tekun pula, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 12,104 PKS, dengan nilai RM101 juta,” katanya.