PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) di negara ini digalakkan untuk menerokai potensi pasaran halal sepenuhnya di peringkat global.

Di Malaysia, nilai eksport produk halal tempatan tahun lalu dicatatkan sebanyak RM40.2 bilion dan produk halal Malaysia mempunyai reputasi yang tinggi serta diterima baik di peringkat antarabangsa.

Menurut Halal Development Corporation (HDC), segmen eksport makanan dan minuman (F&B) halal meningkat sebanyak 10.4 peratus pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Segmen F&B (makanan dan minuman) yang berjumlah RM22 billion ini adalah segmen terbesar bagi eksport halal di Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, China adalah destinasi eksport produk halal Malaysia yang terbesar, mencatatkan nilai eksport berjumlah RM4.7 bilion pada 2019.

Katanya, ia diikuti Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Indonesia.

Beliau berkata, negara di rantau Asia Tenggara adalah satu pasaran eksport halal utama Malaysia yang mencatatkan gabungan eksport halal sekitar RM12 bilion tahun lalu.

“Data ini menunjukkan potensi eksport di pasaran terbabit dan wajar bagi PKS tempatan untuk mengambil peluang mengeksport ke negara-negara ini.

“Pasaran halal global menawarkan peluang yang sangat besar untuk PKS tempatan, terutamanya dalam mengeksport produk makanan ke luar negara memandangkan sijil halal Malaysia sangat terkenal dan mempunyai reputasi yang besar di peringkat dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu susulan lawatan kerja beliau ke kilang pembuatan Kawan Food Berhad di Selangor Halal Hub, Pulau Indah, baru-baru ini.

Tujuan lawatan ke Kawan Food ini adalah untuk meninjau pematuhan pihak kilang kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Selain itu, ia mengetahui lebih mendalam mengenai gangguan rantaian bekalan global dan pendekatan yang diambil oleh industri dalam menjalankan perniagaan di norma baru.

Kawan Food ialah antara pengeluar dan pengeksport produk makanan halal yang terkemuka di Malaysia.

Setakat ini, Kawan Food sudah mengeksport ke 42 pasaran antarabangsa dan aktiviti eksport menyumbang 60 peratus daripada pendapatan syarikat ini pada tahun lalu.

Menurut HDC, terdapat lebih daripada 200,000 PKS tempatan yang berpotensi untuk terbabit dalam penghasilan produk halal.

Sehubungan itu katanya, penting bagi syarikat ini mendapatkan sijil halal bagi menambah nilai kepada produk mereka di peringkat domestik dan global.