G City Club Hotel berkata keputusan untuk menamatkan operasi itu dilaksanakan berikutan kadar penginapan yang rendah sejak beberapa tahun lepas selepas. Foto: Facebook/ @GTowerHotel

KUALA LUMPUR : G City Club Hotel Sdn Bhd yang mengendalikan 180 bilik hotel di bawah nama dagang GTower Hotel menutup operasinya selepas sedekad disebabkan oleh penyusutan kadar penginapan.

G City Club Hotel berkata keputusan untuk menamatkan operasi itu dilaksanakan berikutan kadar penginapan yang rendah sejak beberapa tahun lepas selepas pihaknya menerima persaingan sengit daripada hotel-hotel baharu dan pertambahan inap desa di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur (KLCC).

“Pada awalnya hotel ini telah dikonsepkan dan menyasarkan pelancong korporat, namun beberapa tahun kebelakangan ini ia menyaksikan penurunan mendadak pelancong tersebut khususnya dari industri minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, kerja-kerja pembinaan jalan dan Projek Transit Aliran Massa (MRT) yang berpanjangan di sekitar KLCC turut mengakibatkan masalah akses ke sekitar Jalan Tun Razak, menyebabkan kadar penginapan yang amat merosot daripada pelancong santai.

G City Club Hotel berkata pelaksanaan model aset ringan berasaskan premis hotel dan sewaan yang tidak seperti hotel-hotel lain iaitu model aset pemilikan, turut menyebabkan kos tetap yang lebih tinggi terutamanya daripada sewaan. 

 

Sumber Facebook GTowerHotel

“Dengan menularnya COVID-19 dan jangkaan bahawa ekonomi global akan kembali normal dalam masa 18 bulan serta kurangnya keyakinan untuk melancong, pihak pengurusan mengkaji semula operasi hotel ini dan membuat keputusan yang amat sukar untuk menamatkan operasi,” kata hotel itu.

Menurutnya, seramai 79 pekerja akan diberikan notis mengikut syarat-syarat Kontrak Pekerjaan dan dibayar gaji serta manfaat pemberhentian kerja berpandukan Akta Kerja.

— BERNAMA/p