Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan Pelan Strategik bagi tahun 2020-2022 dikenali sebagai Focus 4 bagi memacu organisasi ke hadapan untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, pelan itu dirangka berdasarkan hasil Kajian Semula Jangka Masa Pertengahan yang dilakukan pada tahun lalu bagi Pelan Strategik 2017-2022 sebelumnya, yang dikenali sebagai STRIVE-15.

“Bagi menyelaraskan 15 inisiatif awal itu, Focus 4 menggariskan empat bidang tumpuan bagi PNB dalam usaha mentransformasi dan membuat persiapan untuk mengharungi cabaran ketidaktentuan masa depan serta perubahan lanskap pasaran,” katanya pada sidang media maya pelancaran laporan tahunan PNB 2019 dan pelan strategik PNB 2020-2022 (Focus 4), semalam.

Ia turut disertai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Jalil Rasheed.

Menurutnya, berdasarkan kesimpulan yang diperoleh daripada Kajian Semula Jangka Masa Pertengahan bagi STRIVE-15, PNB memusatkan fokusnya kepada empat bidang utama untuk membentuk Pelan Strategik 2020-2022 atau Focus 4.

“Kajian Semula Jangka Masa Pertengahan yang meluas ini membolehkan PNB mengumpul maklumat kritikal dan menganalisis faktor dinamik semasa kami bagi memperkukuh hala tuju strategik kami untuk terus mengorak langkah ke hadapan.

“Ia adalah intipati Focus 4 yang memperincikan empat bidang utama iaitu Kepelbagaian, Penciptaan Nilai, Pengurusan Risiko dan Transformasi Organisasi untuk menjadi pemangkin pertumbuhan yang mampan dan membolehkan PNB meraih nilai,” katanya.

Sementara itu, Jalil berkata, PNB meletakkan sasaran utama untuk meningkatkan pendedahan global secara taktikal kepada 30 peratus menjelang 2022, berbanding pendedahan global semasa sebanyak 8.5 peratus pada akhir tahun lalu.

Ia akan terus memacu kepelbagaian portfolio melalui pelaburan dalam kelas aset dan geografi baharu, termasuk peluang hartanah global dengan pulangan yang baik.

“Selaras dengan itu, bagi mengoptimumkan pulangan dalam persekitaran pulangan rendah berterusan, PNB terus meneliti semula porfolio dengan matlamat untuk melabur di kaunter-kaunter yang mampu memberikan prospektif pulangan dan potensi pulangan jangka panjang lebih baik, bagi mendorong penggunaan modal lebih efisien.

“Untuk jangka masa terdekat, ini termasuklah memanfaatkan prospek yang ditawarkan oleh mispricing pasaran semasa,” katanya.