FRASER & Neave Holdings Bhd (F&N) diberi kelulusan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan pihak berkuasa tempatan berkaitan untuk meneruskan operasi walaupun dengan tenaga kerja dikurangkan dan waktu operasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, sebagai pengeluar tenusu dan minuman utama di Malaysia, kumpulan itu komited untuk menyokong pelanggan, rakan perdagangannya dan komuniti secara menyeluruh dengan bekalan produk teras yang mencukupi dalam persekitaran ketidakpastian.

“Bersama pembekal bahan mentah dan bahan pembungkus kami, F&N berusaha memastikan pengeluaran maksimum dalam waktu operasi pengeluaran dan tenaga kerja dikurangkan sebagaimana ditetapkan pihak berkuasa sepanjang tempoh PKP.

“Sejajar dengan inventori yang kukuh, kami berusaha memastikan ketersediaan produk teras kami kepada pengguna” katanya.

Sementara itu, Lim berkata, terlalu awal untuk menilai kesan kewangan terhadap syarikat itu ketika krisis masih berlaku, termasuk di Thailand di mana kumpulan itu mendapat pendapatan dan keuntungan yang besar.

“Tumpuan utama kami untuk kesejahteraan rakyat dan memastikan bekalan mencukupi kepada pasaran,” katanya. Kami akan bekerjasama rapat dengan rakan perdagangan dan pembekal kami untuk memastikan gangguan yang minimum ketika tempoh PKP ini apabila kemungkinan wujudnya masalah aliran,” katanya.

Sejak bermulanya penularan Covid-19, F&N menyumbang 3,800 karton produk bernilai lebih RM100,000 kepada petugas barisan hadapan di seluruh negara.