Johor Bahru: Kerajaan berharap Amerika Syarikat (AS) menerima penjelasan yang diberikan pihak berkenaan berhubung isu sekatan minyak sawit dan produk komoditi FGV Holdings Bhd (FGV).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tindakan AS itu bukan kali pertama, malah sebelum ini pernah terjadi dalam sektor pembuatan.

Katanya, penyelesaian masalah itu dapat dicapai selepas penerangan dibuat.

“Kita harap penerangan yang diberikan pihak berkenaan akan diterima. Apabila AS menerima penerangan itu, kita juga akan menerima kemasukan minyak kelapa sawit semula ke pasaran AS,” katanya di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS menahan minyak sawit dan produk komoditi itu yang dihasilkan FGV serta anak syarikatnya dan sebarang usaha sama dengan syarikat itu di semua pintu masuk negara itu, berkuat kuasa 30 September lalu.

FGV kemudian membuat kenyataan balas dengan menegaskan semua isu yang dibangkitkan sudah menjadi bahan perdebatan umum sejak 2015 dan syarikat sudah mengambil beberapa langkah untuk memperbaiki keadaan.

Mustapa berkata, di peringkat FGV, penjelasan berhubung dakwaan itu sudah diberi dengan menekankan bahawa isu berkenaan tidak berbangkit.

“Isu ini sudah pasti menimbulkan kebimbangan kerana produk sawit adalah sektor besar dalam negara yang turut membabitkan ramai pekebun kecil,” katanya.