Kuala Lumpur: FGV Holdings Bhd (FGV) melalui subsidiarinya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd melancarkan jenama makanan haiwan berkualiti tinggi, ALMA, sejajar dengan pengembangan perniagaan makanan haiwan kumpulan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, jualan domestik syarikat dedak isirong (PKE) dan produk makanan haiwan telah meningkat daripada hanya 8,000 tan yang dicatatkan pada 2018 kepada 39,000 tan tahun lepas, dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 121 peratus.

“Untuk 2021, FGV memperuntukkan 75,000 tan, bersamaan dengan 20 peratus pengeluaran PKE tahunan kami bagi penghasilan makanan haiwan serta kami menyasarkan untuk mencapai 150,000 tan menjelang 2024,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan statistik ruminan di Malaysia, petani tempatan memerlukan kira-kira 240,000 tan makanan haiwan setahun dan pada tahun lepas, FGV memenuhi 17 peratus daripada jumlah yang diperlukan.

“Kami akan dapat membekalkan kira-kira 60 peratus permintaan tempatan untuk makanan haiwan menjelang 2024,” kata Haris Fadzilah dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, FGV akan terus menyokong industri makanan haiwan tempatan supaya industri itu boleh mampu diri.

“Rangkaian produk makanan haiwan ALMA baharu kami adalah bebas antibiotik dan mengandungi formulasi yang sihat untuk daging lembu, makanan lembu tenusu, makanan kambing dan kambing biri-biri, ayam, makanan mineral semulajadi termasuk makanan tambahan untuk ternakan.

“Kami juga telah mengadakan program pengedaran bagi memastikan makanan tersebut sampai kepada petani tempatan dengan berkesan di seluruh Semenanjung dan akan meningkatkan bilangan pengedar pada tahun ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Haris Fadzilah berkata, FGV dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) bekerjasama dalam membantu penternak haiwan tempatan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini di Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Rantau Pantai Timur, yang merupakan kawasan yang paling teruk terkesan akibat bencana banjir tersebut, mempunyai bilangan ternakan terbesar per kapita di Malaysia.