FGV Holdings Bhd sedia bekerjasama dengan lebih banyak pengedar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha mengembangkan perniagaan makanan haiwan dan pemakanan haiwan serta menembusi pasaran di seluruh negara dengan lebih efektif.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, syarikat itu merancang menggandakan bilangan pengedarnya menjelang akhir tahun ini.

“Dengan pertumbuhan menggalakkan dalam perkongsian pengedar, FGV yakin sasaran kuantiti jualan (makanan haiwan) sebanyak 50,000 tan metrik tahun ini boleh dicapai,” katanya dalam kenyataan.

Bagi tahun ini, FGV memeterai perjanjian dengan tujuh pengedar termasuk My Agro Hub Resources yang baru dilantik minggu ini untuk memasarkan 30 tan metrik makanan haiwan yang diformulakan setiap bulan bagi penternak lembu tenusu, lembu daging dan kambing di Negeri Sembilan dan Melaka.

Menurutnya, My Agro Hub juga menjadi antara beberapa ladang pertama menguji makanan haiwan yang diformulakan FGV dilancarkan tidak lama lagi.

Terdahulu, tahun ini FGV memeterai perjanjian dengan enam pengedar di Pahang, Kelantan, Selangor dan Kedah dan ia berhasrat memasukkan pengedar dari negeri lain di Semenanjung.