FGV Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM20.55 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2020 berbanding kerugian bersih RM52.20 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Perolehan pada suku tahun itu naik kepada RM3.29 bilion daripada RM3.28 bilion pada tahun lalu.

Bagi tempoh enam bulan, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM121.80 juta daripada RM55.57 juta, manakala perolehan merosot kepada RM6.08 bilion daripada RM6.56 bilion pada tahun sebelumnya.

Pendapatan dan perolehan yang rendah untuk tempoh enam bulan itu sebahagian besarnya berikutan kerugian yang lebih tinggi dicatatkan dalam sektor perladangan disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah tetapi sebahagiannya dikurangkan dengan caj nilai saksama yang zendah sebanyak RM133.2 juta berbanding RM165.3 juta pada tahun sebelumnya.

Sektor perladangan mencatatkan kerugian lebih tinggi sebanyak RM104.98 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2020 berbanding kerugian RM14.28 juta dalam tempoh kewangan yang sama sebelum ini.

“Ini berikutan jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM) yang merosot sebanyak 21.7 peratus sejajar dengan pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang rendah sebanyak 13.8 peratus kepada 1.90 juta tan,” menurut FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Mengenai masa depan, kumpulan itu menjangka separuh kedua yang lebih kukuh untuk sektor perladangannya berikutan FFB dan pengeluaran MSM dalam operasinya kembali normal selepas permulaan yang perlahan pada awal tahun ini.

Katanya, permintaan terhadap MSM dijangka pulih berikutan pasaran global dibuka daripada sekatan pergerakan pada separuh pertama 2020, manakala sektor gula akan terus mencabar dan akan memberi tumpuan kepada pelan pemulihannya, kepelbagaian produk dan pasaran eksport.