Kuala Lumpur: Felda merancang untuk memberi lebih tumpuan kepada aktiviti hiliran yang kurang diberi perhatian sebelum ini selepas berjaya menguasai 81 peratus saham FGV Holdings Bhd.

Pengurus Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, gandingan kerjasama antara Felda dan FGV mampu memberi nilai tambah kepada agensi itu.

“Ia terutama dengan lebih memfokuskan aktiviti hiliran yang kurang diberi perhatian sebelum ini.

“Aktiviti hiliran akan memberi margin keuntungan yang lebih tinggi dan mampu mengukuhkan kedudukan kewangan Felda dengan lebih mampan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada 8 Disember tahun lalu, Felda mengumumkan pembelian 506.2 juta saham mewakili 13.88 peratus pegangan saham FGV daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd pada harga RM1.30 sesaham berjumlah RM658 juta.

Ini meningkatkan pegangan saham Felda dan sekutunya termasuk Koperasi Permodalan Felda Bhd (KPF) dalam FGV daripada 36.6 peratus kepada 50.5 peratus, sekali gus mencetuskan tawaran mandatori terhadap baki saham yang belum dimiliki oleh Felda dan sekutunya.

Pembelian saham daripada KWAP dan Urusharta Jamaah selesai pada 22 Disember 2020 dan mengakibatkan tawaran am mandatori itu menjadi tidak bersyarat.

Tempoh tawaran am mandatori tamat pada 15 Mac 2021 dan 987.3 juta (27.1 peratus) saham diterima Felda manakala 125.6 juta (3.4 peratus) saham dibeli di pasaran.

Ia bermakna ketika ini, Felda dan KPF kini menguasai 81.0 peratus saham FGV manakala Kerajaan Negeri Pahang pula memiliki lima peratus dan Kerajaan Negeri Sabah serta syarikatnya Sawit Kinabalu memiliki empat peratus saham FGV.

Katanya, sebagai sebuah anak syarikat, ini akan membolehkan pengurusan ladang perjanjian pajakan tanah (LLA) FGV berserta kilang sawit diintegrasikan dengan ladang Felda yang lain supaya lebih cekap dan berkesan untuk manfaat bersama Felda dan FGV.

Sementara itu, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, beliau percaya kerjasama Felda dan FGV akan membentuk sinergi yang membawa manfaat kepada kedua-dua organisasi.

“Untuk terus mengorak langkah ke hadapan penting untuk kita memegang prinsip ‘we are one’ (kita adalah satu).” katanya.