INDUSTRI minyak dan gas (O&G) kini dalam fasa kejatuhan harga untuk kali ketiga dalam tempoh 12 tahun walaupun terbukti mampu bangkit dan meneruskan operasi selepas dua kejutan awal terbabit.

Namun, keadaan agak berbeza kali ini berikutan konteks semasa yang menggabungkan kejutan bekalan dengan kejatuhan ketara serta tidak dijangkakan bagi permintaan komoditi serta krisis kemanusiaan global akibat pandemik Covid-19.

Malah, tahap prestasi kewangan dan struktur sektor itu juga jauh lebih buruk berbanding krisis sebelumnya.

Kewujudan bahan api syal, lambakan bekalan dan keadaan pasaran kewangan yang melangkaui disiplin had modal hanya menyumbang kepada pulangan yang rendah.

Bukti tempoh mencabar bagi pasaran minyak serta ekonomi global yang terus ‘berperang’ membendung pandemik itu adalah prestasi syarikat gergasi minyak Saudi Aramco yang mencatat penyusutan pendapatan bersih sebanyak 50 peratus kepada AS$23.2 bilion bagi separuh pertama 2020 berbanding AS$46.9 bilion dalam tempoh sama 2019.

Jumlah aliran tunai syarikat minyak Arab Saudi itu mencecah AS$21.1 bilion untuk enam bulan pertama tahun ini yang turut merosot daripada AS$38 bilion tahun lalu.

Royal Dutch Shell juga tidak terkecuali apabila melaporkan kerugian kewangan yang ketara selepas penyusutan nilai aset O&G dengan merekodkan kerugian bersih sebanyak AS$18.3 bilion bagi suku kedua 2020 yang juga penurunan ketara daripada keuntungan bersih AS$3 bilion dalam tempoh sama dan AS$2.7 bilion dalam tiga bulan pertama 2020.

Berdasarkan prestasi kewangan syarikat utama di atas, kini tumpuan beralih kepada syarikat minyak negara, Petronas yang dijangka mengumumkan prestasi kewangan suku keduanya pada 4 September ini.

Mengulas perkara itu, Profesor Madya Perniagaan dan Masyarakat Asia School of Business (ASB) Dr Renato Oliveira de Lima berkata, syarikat minyak turut membuktikan lebih berdaya tahan sekarang selepas mengharungi tempoh sukar kejatuhan harga minyak pada 2014.

DR Renato Oliveira de Lima
DR Renato Oliveira de Lima

Ini berikutan ada segelintir daripadanya yang bertindak membuat persediaan untuk menghadapi senario keadaan kewangan yang rendah bagi tempoh yang lama.

Malah, ada syarikat minyak turut mengelak daripada membuat sebarang keputusan pelaburan akhir dalam perkara yang boleh menjejaskan harga minyak yang tinggi, katanya.

“Walaupun kebanyakan syarikat ini dapat mengekalkan perniagaan, namun tumpuan lebih diberikan terhadap usaha mengawal aliran tunai. Pengurangan kos, khususnya pelaburan baharu dalam aspek penerokaan dan pengeluaran, juga dapat dilihat secara menyeluruh.

“Namun, kemungkinan mengalami kewangan kronik seperti bankrap setakat ini terhad, terutamanya bagi pengeluar di Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai aset di kawasan yang menelan kos pengeluaran tinggi,” katanya.

Bagi mengurangkan impak pasaran minyak yang lemah, kalangan syarikat minyak antarabangsa, minyak dan gas serta kimia sudah bertindak secara pantas dengan mengurangkan perbelanjaan modal dan operasi yang akan turut disusuli di peringkat pembekal dan syarikat penyedia perkhidmatannya.

Pada Mei tahun ini, Petronas mengumumkan mengurangkan perbelanjaan modal 21 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 daripada anggaran awal kira-kira RM50 bilion berikutan cabaran yang dihadapinya berikutan pandemik itu.

De Oliveira juga menyifatkan krisis bagi industri minyak masih belum berakhir dan terdapat alasan jangka pendek dan panjang, termasuk peningkatan kes Covid-19 di peringkat global.

“Kemungkinan besar keyakinan melakukan perjalanan udara akan pulih atau memakan masa sehingga dua tahun lamanya dengan penghasilan vaksin dan pembatalan sekatan perjalanan berkaitan. Hanya selepas itu, kita mungkin menyaksikan angka 100 juta tong minyak sehari sebagaimana dicatatkan pada awal tahun ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19