AIRASIA Group Bhd melaporkan faktor beban kumpulan yang positif sebanyak 80 peratus untuk suku pertama 2020, lebih baik daripada jangkaan 77 peratus sebelum ini walaupun permintaan perjalanan masih lemah berikutan sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan akibat pandemik Covid-19.

AirAsia Group dalam kenyataan berkata, kejayaan itu diraih melalui pengurusan keupayaan proaktif, terutama pada Februari dan Mac, dengan pengurangan ketara dalam AirAsia Malaysia dan AirAsia Thailand.

“Kapasiti penumpang kumpulan secara keseluruhan lebih rendah sebanyak tujuh peratus dari tahun ke tahun pada 21 peratus bagi suku itu.

“Syarikat pengendalian penerbangan kumpulan disatukan (AOC) yang terdiri daripada operasi Malaysia, Indonesia dan Filipina merekodkan faktor beban yang mantap sebanyak 78 peratus, tetapi bilangan penumpang dibawa menyusut ke bawah 21 peratus dari tahun ke tahun kepada 9.9 juta selepas kapasiti berkurangan 11 peratus,” katanya.

Menurutnya, di bawah suku yang dikaji itu, kapasiti AirAsia Malaysia merosot 17 peratus dari tahun ke tahun selepas perniagaannya terganggu peningkatan dalam kes Covid-19 termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di Malaysia sejak 18 Mac lalu.

“Penumpang pesawat berkurangan 27 peratus dari tahun ke tahun, tetapi ia meraih faktor beban kukuh berjumlah 77 peratus.

“AirAsia Indonesia pula, mencatatkan kenaikan kapasiti 10 peratus dari tahun ke tahun untuk suku pertama 2020 walaupun tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) sedia ada naik empat peratus selepas syarikat mengatur lebihan kapasiti daripada sektor antarabangsa kepada domestik.

“Penumpang dibawa menurun tujuh peratus berikutan kejatuhan permintaan perjalanan di rantau ini manakala faktor bebansederhana pada 74 peratus. Dalam suku ini juga, AirAsia Indonesia memulakan penerbangan Jakarta-Medan,” katanya.

Sementara itu, AirAsia Philippines menerbangkan 1.8 juta penumpang, susut sembilan peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Kapasitinya jatuh satu peratus dari tahun ke tahun disebabkan banyak laluan domestik dan antarabangsa mengalami sekatan mulai pertengahan Mac manakala faktor beban kukuh pada 84 peratus.

Bagi AirAsia Thailand, penjajaran kapasiti dan usaha rasionalisasi dimulakan pada 2019 masih diteruskan sehingga suku tahun ini bagi diselaraskan dengan permintaan perjalanan yang rendah.

“Kapasiti merosot 17 peratus manakala permintaan menurun 30 peratus disebabkan rangkaian AirAsia Thailand disejajarkan melalui pengurangan kekerapan dan penggantungan penerbangan di laluan antarabangsa berikutan sekatan perjalanan termasuk penggunaan semula kapasiti berlebihan kepada sektor domestik,” katanya.

AirAsia Thailand merekodkan faktor beban sejumlah 84 peratus kerana ia membawa 4.5 juta penumpang, 23 peratus lebih rendah daripada tahun sebelumnya.