EU memberi amaran kepada AS bahawa negara itu tidak boleh mengubah peraturan kumpulan itu dengan sesuka hati. – seeklogo

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) menolak sebarang cadangan bahawa kumpulan G7 ekonomi mahu diperluaskan dengan memasukkan Rusia dan memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu tidak boleh mengubah peraturan kumpulan itu dengan sesuka hati.

Presiden AS, Donald Trump pada Sabtu lepas menggambarkan G7 sebagai kumpulan negara yang ketinggalan zaman dan menyatakan beliau akan mengundang para pemimpin dari Australia, Rusia, Korea Selatan dan India untuk menyertai sidang kemuncak pemimpin G7 yang kini ditangguhkan pada September.

EU menyatakan, memandangkan G7 sebagai kerangka multilateral penting yang tidak dapat diubah secara tetap oleh ketua kumpulan yang ketika ini adalah AS.

Jurucakap EU berkata penyertaan Rusia dalam G8 telah ditangguhkan sehingga Rusia berubah ke arah persekitaran memungkinkan G8 untuk sekali lagi mengadakan perbincangan yang lebih baik.

Rusia dibuang daripada kumpulan kelapan pada tahun 2014 selepas Moscow mengambil wilayah Crimea dari Ukraine.

Rusia masih menguasai wilayah itu dan ramai pemimpin G7 menolak cadangan Trump untuk membawa kembali Rusia.

Tambah jurucakap itu, walaupun merupakan hak istimewa ketua G7 boleh mengundang tetamu, namun untuk mengubah keanggotaan atau format adalah tidak dibenarkan.

Britain dan Kanada telah menentang idea untuk membawa Rusia kembali ke dalam kumpulan itu.

Moscow sendiri menyatakan cadangan Trump mengundang semula Rusia ke dalam sidang kemuncak G7 menimbulkan persoalan namun pihaknya akan meminta penjelasan dari Washington.

Sementara India, Australia dan Korea Selatan mengesahkan mereka menerima jemputan untuk menghadiri sidang kemuncak G7 yang diperluas.

Menteri Kewangan kumpulan G7 dijangka bertemu secara dalam talian pada Rabu dengan pemimpin Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa untuk membincangkan usaha mengekang COVID-19 dan usaha mengurangkan kemelesetan ekonomi.