BELANJAWAN 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November depan akan merentasi empat tema utama – mengambil peduli terhadap rakyat, memacu ekonomi, kehidupan yang mampan serta menambahbaik penyampaian perkhidmatan awam, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Tema pertama membabitkan peduli rakyat yang mana matlamat pertama Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) adalah bertujuan melindungi dan memperkasakan rakyat.

“Malah, rakyat Malaysia menunjukkan kesungguhan mewujudkan masyarakat lebih baik dan membuktikannya ketika negara mengharungi tempoh sukar,” katanya ketika menyampaikan ucap tama di Invest Malaysia 2020 di sini, semalam.

Tengku Zafrul berkata, usaha seperti #KitaJagaKita menyaksikan rakyat negara ini, baik yang tua dan muda, bersepakat dan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat untuk membantu rakyat yang memerlukan.

“Usaha itu daripada tindakan mengumpulkan dana untuk petugas barisan hadapan sehinggalah menyediakan makanan untuk kelompok masyarakat yang memerlukan hanya menyerlahkan lagi semangat Malaysia yang bersatu walaupun mewakili pelbagai latar belakang,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh usaha memacu ekonomi, Tengku Zafrul berkata, antara bidang berkaitan di bawah tema itu memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2021, meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) bagi 2021 dan melonjakkan keyakinan pelabur.

Malah, tegasnya, bidang yang tidak kurang pentingnya di bawah tema itu ialah mempertingkat penggunaan teknologi dan digitalisasi merentasi pelbagai sektor awam dan swasta bagi merancakkan ekonomi.

“Atas alasan itu, langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac dan April tahun ini jelas membuktikan lonjakan penggunaan teknologi sama ada oleh individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau korporat,” katanya.

Di bawah pakej rangsangan ekonomi, hampir RM1 bilion diperuntukkan bagi menggalakkan penerapan teknologi dan digital oleh PKS selain menyemai inovasi digital dalam syarikat pemula niaga yang menjadi usaha bagi memastikan mereka bersedia serta berdaya saing dalam era Revolusi Perindustrian Keempat.

Tengku Zafrul berkata, dari perspektif pasaran modal, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) turut melaksanakan teknologi digital bagi membolehkan dagangan dalam talian dan platform pelaburan yang cekap kos, menggalakkan kalangan pelabur runcit dan institusi menggunapakai digitalisasi serta memanfaatkan dagangan ekuiti yang lebih kemas dan lancar.

Menurutnya, bagi suku pertama tahun ini, 74 peratus daripada purata dagangan harian oleh pelabur runcit membabitkan transaksi dalam talian.

Dagangan secara dalam talian dalam kalangan pelabur meningkat kepada 41 peratus berbanding 31 peratus pada suku pertama 2019.