HARGA emas berpotensi untuk terus melambung ke paras AS$2,000 (RM8,480) seauns dalam tempoh terdekat, lebih-lebih lagi selepas logam berharga ini mencapai paras tertinggi sepanjang masa pada AS$1,980 (RM8,395) seauns baru-baru ini.

Kelemahan dolar serta ketidakpastian yang timbul daripada pandemik Covid-19 dan ketegangan geopolitik turut memberi ruang kepada harga emas untuk terus meningkat.

Ahli ekonomi OCBC Bank Howie Lee berkata, besar kemungkinan paras AS$2,000 seauns adalah sasarannya dengan pemangkin kepada kenaikan harga emas ialah kejatuhan dolar AS tidak lama dulu.

“Dengan pengumuman rangsangan fiskal seterusnya di Amerika Syarikat, harga emas dijangka meningkat ekoran kebimbangan mengenai inflasi selain daripada kelemahan dolar AS,” katanya.

Lee berkata, apa yang akhirnya akan dilihat ialah inflasi aset yang mana strategi barbell menjadi tema semasa pelabur.

Katanya, pelabur ini akan terus melaburkan lebihan kecairan ke dalam aset berisiko dan pada masa sama, mereka turut membeli dengan banyak untuk melindung nilai emas bagi mengelakkannya daripada peningkatan risiko menurun sekiranya berlaku sesuatu yang di luar jangkaan.

Sementara itu, syarikat jenama barang kemas tempatan, Habib Jewels Sdn Bhd melihat aliran menaik harga emas akan terus membawa sentimen positif terhadap tingkah laku pembelian pengguna terhadap logam berharga berkenaan.

Pengurus Besarnya, Mohd Zaruddin Mahmud berkata, syarikat masih mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang datang untuk membeli kedua-dua barang kemas dan emas jongkong meskipun harganya melambung tinggi.

“Melihat kepada keadaan ekonomi dunia yang tidak nampak tanda pemulihan dalam masa yang terdekat ini, saya merasakan harga emas akan kekal tinggi hingga vaksin Covid-19 dibangunkan,” katanya.
– Bernama