EKUITI Nasional Bhd (Ekuinas) menjual 100 peratus pegangannya dalam pengeluar makanan berasaskan daging, Primabaguz Sdn Bhd (PrimaBaguz) kepada syarikat antarabangsa, Johnsonville International LLC (Johnsonville) berdasarkan nilai perusahaan sebanyak RM175.0 juta.

Pemilikan strategik PrimaBaguz itu juga akan membolehkan Johnsonville meneroka hab makanan halal di dalam pasaran yang berkembang di seluruh Asia dan Asia Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, pihaknya berpuas hati dengan pelupusan itu kerana ia menggalakkan pelaburan langsung asing dalam industri pembuatan makanan.

Beliau berkata, pelupusan itu menarik perhatian pelaburan langsung asing yang signifikan dan menjana Kadar Pulangan Dalaman (IRR) Kasar 22.1 peratus dan 3.8 kali modal dilaburkan.

Katanya, ia sebahagian daripada strategi portfolio berhemat Ekuinas sejajar dengan keadaan pasaran semasa.

Ini katanya akan membawa jumlah terealisasi Ekuinas kepada RM3.1 billion.

Johnsonville juga katanya merancang menjadikan PrimaBaguz sebagai hab makanan halal mereka bagi rantau ini.

“Pelan penciptaan nilai (VCP) Ekuinas untuk PrimaBaguz menjana pertumbuhan pendapatan 75 peratus sejak mengambil alih pada 2013, khususnya didorong oleh peningkatan dalam kapasiti pembuatan dan rangkaian produknya,” katanya.