Seorang wanita berbasikal sambil memakai pelitup muka di sebuah taman di Samut Prakan selepas kerajaan melonggarkan beberapa sekatan susulan COVID-19 di Thailand, 25 Jun, 2020. REUTERS

BANGKOK: Ekonomi Thailand bertambah baik daripada bulan sebelumnya berikutan kelonggaran secara berperingkat langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan di Thailand dan juga di luar negara, yang menyokong penyambungan semula aktiviti ekonomi.

Bank of Thailand (BoT) berkata nilai eksport barangan tidak termasuk emas, penggunaan swasta dan petunjuk pelaburan swasta dan pengeluaran pembuatan menguncup pada kadar yang rendah.

"Perbelanjaan awam meningkat dalam perbelanjaan semasa dan juga modal. Bagaimanapun, sektor pelancongan terus menyusut dengan ketara disebabkan sekatan perjalanan antarabangsa," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.

BoT berkata nilai eksport barangan turun 24.6 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas, naik sedikit berbanding bulan sebelumnya.

Kecuali emas, ia berkata, kadar penguncupan berkurangan dengan ketara kepada 18.4 peratus daripada 29.0 peratus bulan lepas.

"Ini berikutan peningkatan eksport dalam hampir semua kategori seiring dengan aktiviti ekonomi yang bertambah baik di negara-negara rakan dagangan selepas langkah-langkah sekatan dilonggarkan," kata bank pusat.

— BERNAMA