SEKTOR elektrikal dan elektronik (E&E) menanggung kehilangan eksport mencecah RM29.12 bilion susulan penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Perdagangan), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, krisis kesihatan terbesar itu juga menjejaskan sumbangan sektor E&E kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

“Kerugian terkumpul sektor E&E dianggarkan berjumlah RM7.28 bilion daripada KDNK sekali gus menjadi antara sektor paling terjejas disebabkan pandemik ini,” katanya menyampaikan ucaptama dalam siri webinar Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini, semalam.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata, sektor E&E menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara dan kekal sebagai penyumbang penting kepada KDNK.

Katanya, sektor itu menyumbang RM81 bilion atau 5.8 peratus kepada KDNK Malaysia, sementara nilai eksport pula mencecah RM380 bilion tahun lalu.

“Justeru, kerajaan akan terus menekankan bahawa sektor E&E adalah penting dalam memacu ekonomi negara.

“Kita perlu bangkit semula, mengkaji sumbangan sektor ini dan meneroka apa yang terbaik untuk menambah nilai E&E bagi memastikan pertumbuhannya kekal mampan dan kukuh,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Miti dan agensinya komited untuk membantu syarikat Malaysia untuk kekal berdaya saing ketika tempoh sukar, selain menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus bertahan.

“Krisis ini memberi penekanan bahawa perlunya transformasi pantas dalam perkembangan ekonomi Malaysia.

“Kita perlu tentukan pembolehubah untuk menghubungkan masa kini dan masa depan. Malaysia harus merebut trend dan peluang untuk menangani wabak yang memberikan implikasi berpanjangan terhadap pelaburan global.

“Dengan pelaburan langsung asing (FDI) akan terjejas, kita mesti mencari pembolehubah bagi mencapai masa depan iaitu pelaburan berkualiti,” katanya.